MARANG: Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan
Tan Sri Noh Omar berkata tindakan undang-undang akan dikenakan terhadap
pihak yang didapati menggunakan bahan binaan dilarang bomba pada
kediaman atau premis.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai yang ingin membuat
pengubahsuaian pada kediaman atau premis agar merujuk bomba bagi
memastikan bahan binaan digunakan tidak melanggar undang-undang.
“Kita tidak mahu kejadian kebakaran mengorbankan 70 penduduk di London
di mana bangunan itu menggunakan ‘cladding’ iaitu bahan mudah terbakar,”
katanya mengulas kejadian kebakaran bangunan Kumpulan Wang Simpanan
Pekerja (KWSP) di Jalan Gasing, Petaling Jaya, Selasa lepas.
Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Tamat Latihan Kursus
Sijil Kebombaan Siri 1/2017 di Akademi Bomba dan Penyelamat Wilayah
Timur, Wakaf Tapai hari ini.
Turut hadir, Ketua Pengarah JPBM Datuk Seri Wan Mohd Nor Ibrahim dan
Komandan Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur, Sobberi
Basiran.
Mengulas lanjut kejadian kebakaran itu, Noh berkata, siasatan awal
mendapati bangunan itu menggunakan bahan 'cladding' diperbuat daripada
polisterina, iaitu bahan mudah terbakar.
“Tapi api merebak sebelah luar sahaja sebab itu nampak teruk.
Sebenarnya ia (bahan diperbuat daripada polisterina) tidak boleh
digunakan, kita ada akta, kita akan siasat siapa mula gunakan itu.
“Siasatan (dijangka siap) dalam 2 minggu. Kalau melanggar
undang-undang, kita akan ambil tindakan...saya tengok ada salah faham
sewaktu CF (sijil layak menduduki) diberi bangunan itu memang tidak ada
‘cladding’, tapi bila dah siap dia tambah sendiri di luar pengetahuan
kita,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan