HALAMAN SANTAI

Isnin, 19 Februari 2018

Bukan mudah jadi Wakil Rakyat

CIKGU SHOKRI HJ AHMAD FAUZI


TUGAS sebagai wakil rakyat menurut Islam adalah merangkumi semua tugas secara bersepadu. 
 
Segala sesuatu yang dilaksanakan oleh wakil rakyat adalah sentiasa terikat dengan nilai-nilai yang ditentukan oleh Islam bagi menjamin kebahagiaan umat di dunia dan di akhirat.   
 
Oleh itu, bukanlah mudah untuk menjadi seorang wakil rakyat yang benar-benar berkhidmat kepada rakyat.
 
Memang tidak dapat dinafikan ramai orang baik yang muda mahupun yang sudah berumur bercita-cita untuk menjadi wakil rakyat bukanlah semudah yang disangkakan.
 
Ramai yang ingin menjadi YB (Yang Berhormat) dan suatu hari nanti, mereka akan mendapat peluang mereka.
 
Baik berada dalam mana-mana parti pun tentu akan mencari pemimpin yang benar-benar berkualiti untuk memimpin serta berkhidmat untuk rakyat.
 
Berbeza dengan pada masa dahulu, harapan rakyat kini adalah berbeza daripada 20 tahun lalu dan untuk memenuhi harapan tersebut bukanlah satu perkara yang mudah dan memerlukan komitmen yang tinggi. 
 
Maka, dalam proses pemilihan wakil rakyat hendaklah dilakukan dengan adil yang berasaskan kepada kelayakan, kesesuaian kerja serta sifat kepimpinan yang ada pada seseorang calon itu seperti berakhlak tinggi, bertanggungjawab, sabar, boleh merancang dan bijak melaksanakan tugas. 
 
Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud, "Sesiapa yang melantik orang yang tidak layak menjadi pemimpin, maka sesungguhnya ia telah membuang kalung Islam daripada tengkuknya." (Riwayat Ahmad dan Ad-Dhiak)
 
Selain itu, sudah tentu parti akan menanggung beban dan akan menjadi buah mulut rakyat jika calon yang sudah beberapa kali bertanding dan kalah dalam pilihan raya terdahulu yang diistilahkan sebagai "calon kitar semula" diangkat semula menjadi calon.
 
Sesungguhnya jawatan sebagai wakil rakyat adalah suatu tanggungjawab. Ia bukan suatu status yang direbut bagi mendapat sanjungan dan keistimewaan.
 
Ia adalah amanah dan orang yang memegang amanah kepimpinan mestilah memahami hakikat ini.
 
Rasulullah S.A.W mengingatkan kita dalam sabda baginda yang bermaksud, "Ia (iaitu kepimpinan) adalah amanah dan di akhirat ia menjadi punca kehinaan dan penyesalan kecuali mereka yang mengambilnya dengan haknya dan melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan di dalamnya." (Riwayat Muslim)
 
Sabda baginda lagi yang bermaksud, "Sesiapa di antara pemimpin yang dipertanggungjawab untuk memimpin rakyatnya yang mati ketika sampai ajalnya sedangkan ia melakukan penipuan terhadap rakyatnya, nescaya Allah akan mengharamkan syurga ke atasnya." (Riwayat Bukhari dan Muslim).
 
Justeru itu, orang yang insaf tentang hakikat ini tidak mungkin meminta atau berusaha merebut menjadi wakil rakyat. Ia akan akur kepada etika Islam yang tidak menjadikannya itu barang rebutan.
 
*Penulis adalah bekas Pesuruhjaya PAS Negeri Sarawak) HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: