GEMAS: Salah seorang mangsa yang terkena pisau traktor pemotong rumput
menceritakan detik-detik ngeri yang hampir meragut nyawanya.
"Ia seperti bunyi roket yang laju lalu di belakang saya,” kata Mohd
Farhan Reza Badrol Hesam, 13, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tuanku
Abdul Rahman, di sini.
Dalam kejadian itu, Mohd Farhan mengalami luka sepanjang tiga
sentimeter di belakang kepalanya, terkena bilah pisau traktor pemotong
rumput.
Dia yang ditemui di rumah ibu bapanya di Kampung Bangkahulu, Gemas,
tidak menyangka penyertaan kali pertamanya dalam hari sukan sekolah
bertukar tragedi.
“Masa tu raptai sukan, ustaz cakap duduk dekat dalam kumpulan-kumpulan
dalam barisan... kat tepi tu ade mesin traktor tu tengah potong rumput
ikut line barisan lumba lari itu.
“Sekali ade benda datang. Saya pandang depan je. Saya dengar bunyi laju
datang macam roket... mula-mula terkena arwah (Nur Afini Roslan), lepas
tu terkena kawan saya lepas tu terkena saya macam terhentak.
“Saya pandang bawah ade kulit. Saya pandang sekeliling dia dah
terbaring. Pastu saya panik,” katanya kepada pemberita di Gemas semalam.
Dia yang dimasukkan ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah semalam telah dibenarkan pulang 12.30 tengah hari semalam.
Mengakui masih lagi trauma dengan keadaan itu, anak bongsu daripada dua
beradik itu tidak menolak sekiranya dibenarkan untuk menyertai
perbarisan hari sekolahnya yang ditangguhkan ke satu tarikh tertentu.
Sementara itu, ibu mangsa, Zailina Mohd Nor, 48, kesal perkara sebegitu boleh berlaku di dalam kawasan sekolah.
Namun beliau tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak sebaliknya berharap perkara ini menjadi pengajaran agar tidak berulang.
“Benda dah jadi kan, kita tak boleh hidu malang ni... tak guna salahkan sesiapa,” katanya.
Dalam kejadian 10.30 pagi kelmarin, pelajar perempuan tingkatan dua,
Nur Afini maut selepas kepalanya turut terkena bilah mesin traktor
pemotong rumput berkenaan.
Seorang lagi pelajar, Abdullah Hazlan, 14, cedera di telinga dalam insiden itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan