SHAH ALAM: Hanya empat daripada 25 kerusi yang menjadi rebutan parti
komponen Pakatan Harapan (PH) Selangor berjaya diselesaikan menerusi
mesyuarat yang dipengerusikan Zuraida Kamaruddin hari ini.
Empat kerusi itu ialah kawasan yang sekarang diwakili Umno atau PAS.
Mesyuarat selama sejam di Shah Alam itu turut menyelesaikan isu status
quo pada kawasan yang memang dimiliki DAP, (15 kerusi), PKR (15 kerusi)
dan Amanah (2 kerusi).
Zuraidah berkata pihaknya masih memerlukan tempoh dua minggu untuk menyelesaikan isu perebutan kerusi itu.
"Kita akan membuat perbincangan intensif minggu ini tetapi saya tak
boleh kata akan selesai minggu ini dan buat masa ini kita sudah dapat
memuktamadkan 62 peratus daripada keseluruhan 56 kerusi DUN," katanya
kepada pemberita selepas mesyuarat tersebut, hari ini.
Sementara itu Timbalan Pengerusi DAP Selangor Gobind Singh Deo kelihatan berpuas hati dengan perkembangan rundingan hari ini.
"Mesyuarat hari ini berjalan dengan lancar dan kami membincangkan mengenai pembahagian kerusi," katanya.
Ahli Parlimen Puchong itu juga menjelaskan wakil PH menyedari bahawa
pertemuan yang berlangsung tadi tidak boleh menyelesaikan semua tuntutan
kerusi.
Katanya perbicangan tadi berjaya menyelesaikan pembahagian 35 daripada 56 kerusi yang ada dalam DUN Selangor.
"Maksudnya kami berjaya menyelesaikan antara 60 hingga 62 peratus pembahagian kerusi secara keseluruhan," katanya.
Gobind bagaimanapun enggan mendedahkan kerusi yang sudah mendapat persetujuan bersama itu.
"Kami berharap ia boleh diselesaikan secepat mungkin," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan