SHAH ALAM: PAS Selangor tidak perlu bertelingkah sesama sendiri, kata Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.
"Ada laporan mengatakan terdapat pemimpin PAS Selangor protes tentang tawaran yang dibuat kepada saya.
"Tidak perlulah mereka bertelingkah dan berasa gusar tentang perkara
itu kerana sudah saya nyatakan saya tidak akan bertanding pada PRU14,"
kata Khalid menerusi laman sosial Facebooknya, hari ini.
Terdahulu, Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi berkata partinya
sedia memberi laluan kepada Khalid bertanding dimana-mana kerusi malah
akan menyokongnya untuk kembali menjadi menteri besar.
Sebuah portal melaporkan tawaran Sallehen kepda Khalid itu dipertikai
Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad, yang juga Exco Selangor.
Justeru Khalid mengulangi pendiriannya untuk tidak bertanding malah
berkata sudah berpuas hati dengan pencapaiannya setakat ini.
"Pencapaian saya setakat ini alhamdulillah, saya amat bersyukur dan
tiada keperluan untuk menambah apa-apa lagi. Sekarang ini saya hanya
mahu melakukan amal demi pembangunan Ummah dan negara.
"Saya juga mahu nyatakan bahawa sokongan saya kepada PAS bukanlah untuk status atau jawatan," ujarnya.
Khalid dalam pada itu berkata beliau memilih untuk menyokong PAS
selepas melihat prestasi parti itu yang ikhlas berbakti kepada rakyat
dan tidak mempunyai agenda tertentu sepertimana parti politik lain.
"Sebab itulah saya menyokong PAS kerana ia sebuah parti yang berasaskan
kebajikan dan membuat kebaikan tanpa rasa takut dan tanpa mengharapkan
balasan.
"Saya nampak ada pihak yang tidak senang dengan keakraban saya bersama
PAS tetapi saya percaya rakyat boleh membaca antara kebenaran dan
hasutan," katanya.
Khalid sebelum ini menegaskan beliau berhak untuk menyokong sesiapa
sahaja walaupun tidak lagi menyertai mana-mana parti politik.
Beliau sebelum itu didesak Timbalan Presiden PKR, yang juga Menteri
Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk menetapkan pendirian
mengenai pihak mana yang disokongnya pada PRU14 nanti.
"Siapa saya sokong adalah hak saya. Yang jelas, saya tidak sokong YB
Gombak kerana dia akan merugikan rakyat Selangor lebih RM2 bilion dalam
isu penyusunan semula industri air Selangor," katanya juga menerusi
laman Facebooknya pada 4 Februari lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan