HALAMAN SANTAI

Selasa, 20 Februari 2018

Hati-hati buat keputusan tubuh RCI Memali - Penganalisis

Oleh Athirah Hanapiah
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Barisan Nasional (BN) harus berhati-hati membuat keputusan berhubung isu gesaan agar ditubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) bagi menyiasat semula tragedi Memali, 33 tahun lalu.
 
Penganalisis politik Edwin Michael Muniandy berkata BN harus jelas bahawa penubuhan RCI itu akan 'memakan diri' sementelah ia memberi keuntungan politik untuk PAS secara langsung.
 
Tambahnya, biarpun RCI itu akan tertumpu kepada kemungkinan wujud kesilapan ketika pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad ketika itu, namun pendedahan itu tetap membawa kesan buruk kepada BN keseluruhannya. 
 
"Walaupun ketika itu (Dr) Mahathir terlibat dalam Memali, tetapi yang akan dilabel nanti bukan Mahathir semata-mata tetapi BN.
 
"Penubuhan RCI Memali ini akan memberikan kemenangan moral kepada PAS dan penyokong PAS, dan ini juga boleh memberikan impak pada pilihan raya akan datang sekiranya BN, PAS dan katakan ada tiga penjuru sekalipun, mungkin akan memberikan kemenangan kepada PAS kerana RCI Memali ini boleh memberikan simpati dan sokongan moral kepada PAS untuk lebih bersemangat mengundi PAS. 
 
"(BN perlu) bijak dan berhati-hati kerana langkah yang silap dalam isu Memali ini boleh makan BN sendiri, itu yang sangat bahaya," katanya kepada Antarapos.
 
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam wawancaranya bersama Mingguan Malaysia semalam terus menggesa agar RCI Memali segera ditubuhkan bagi merungkai kebenaran dalam peristiwa Memali.
 
Ahli Parlimen Marang itu berharap kerajaan di bawah Barisan Nasional (BN) hari ini segera menyiasat insiden berdarah itu.
 
Malah, Hadi yang dituduh sesetengah pihak menjadi punca kepada kejadian tersebut turut bersedia untuk memberi keterangan sekiranya kes itu disiasat semula.
 
Antarapos sebelum ini melaporkan mangsa dan ahli keluarga insiden Memali selama ini menantikan siasatan secara telus berhubung isu itu sekali gus membersihkan nama serta maruah mereka.
 
Pandangan itu disokong seorang lagi penganlisis politik, Dr Jeneri Amir yang menyifatkan suruhanjaya itu tidak memberi keuntungan kepada BN.
 
"Kenapa baru sekarang mahu menubuhkan RCI itu, bukan sebelum ini?, ini persoalannya.
 
"Jadi orang meragui apa tujuan penubuhan itu?, kenapa tidak sewaktu pemerintaha Dr Mahathir, kenapa bukan ketika Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi), kenapa tidak pada awal pemerintahan Najib?
 
"Kesangsian itu akan dapat menjejaskan imej serta reputasi kerajaan, jadi saya fikir kita perlu jelas dan ikhlas dengan apa sahaja tindakan yang diambil, tidak harus ada agenda politik disebaliknya.
 
Beliau juga bimbang BN mencipta masalah baru, jika RCI itu gagal menyiapkan laporannya secara telus dan tidak memuaskan hati pihak yang terlibat.
 
"Kita perlu berhati-hati, jangan sampai RCI yang ditubuhkan itu nanti gagal mencapai matlamat yang sebenarnya dan memberikan kesan negatif kepada pihak yang menubuhkannya," ujarnya pula.
 
Namun, lain pula pandangan seorang lagi penganalisis politik, Dr Kamarul Zaman Yusof yang menyokong jika RCI itu segera ditubuhkan.
 
Katanya, kerajaan tidak perlu berasa takut dengan penubuhan suruhanjaya tersebut kerana pemimpin yang terlibat ketika peristiwa itu berlaku tidak lagi berada di dalam BN  hari ini.
 
Malah katanya, ia adalah masa yang terbaik untuk kerajaan menyiasat kembali insiden berkenaan kerana ia mampu membantu menaikkan semula imej BN pada mata rakyat.
 
"Benda ini (Memali) sudah lama berlalu, jadi sementara mereka yang terlibat juga masih berkeupayaan dari segi mental dan fizikal untuk memberikan kerjasama mereka maka ia sangat wajar dilakukan sebab kalau tunggu lebih lama mungkin sesiapa yang terlibat ini mungkin ada yang telah meninggal dunia atau lupa dan sebagainya.
 
"Saya tidak lihat jika siasatan itu dipercepatkan sekalipun ia akan dianggap sebagai satu langkah yang bermotifkan politik.
 
"Jika siasatan ini dapat dilaksanakan dan dapat dibuktikan bahawa wujud kesalahan di mana-mana pihak kononnya ada pelanggaran dan penganiayaan, maka langkah pembetulan dapat dibuat dan jika ia dapat dibuat ia seterusnya dapat melonjakkan lagi 'rating' BN sebenarnya," ujarnya pula.
 
Peristiwa Memali tercetus pada November 1985 iaitu ketika era pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad, ekoran tindakan pihak keselamatan mahu menahan guru agama, Ibrahim Mahmud atau Ibrahim Libya atas dakwaan mengancam keselamatan negara.
 
Insiden itu mengorbankan 18 orang termasuk Ibrahim dan empat anggota polis, dan menyaksikan penahan lebih beratus orang.
 
 

Tiada ulasan: