KUALA LUMPUR: Susulan penemuan kes kopi campuran segera yang
mengandungi bahan dipercayai dadah baru-baru ini, Kementerian Kesihatan
mengambil langkah proaktif dengan melakukan pemeriksaan termasuk
mengambil sampel terhadap produk-produk kopi campuran segera di sekitar
Pulau Pinang.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata, walaupun kes
penemuan kopi tersebut tidak melibatkan kopi-kopi yang dijual di
mana-mana premis jualan namun Kementerian mengambil langkah berjaga-jaga
bagi keselamatan dan kesihatan pengguna.
“Akan tetapi kes kopi bercampur dadah ini sangat pelik dan menimbul rasa hairan yang amat sangat kami di Kementerian.
“Kita tidak faham motif dan modus operandi sindiket yang memasukkan
sebarang bahan dadah ke dalam paket kopi dan kemudiannya boleh ditemui
dan dikutip oleh orang ramai termasuk di tempat pembuangan sampah,”
katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan Minggu
Kempen Kesedaran Sempena Hari Kanser Sedunia 2018 anjuran Persatuan
Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) di Temple Of Fine Arts Kuala Lumpur,
Brickfields di sini, hari ini.
Pada 30 Januari lepas, lima individu termasuk dua wanita, mendapatkan
rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas mengalami gejala letih
dan lemah teruk dipercayai selepas meminum sejenis kopi, dengan dua
orang daripada mereka dimasukkan ke wad untuk rawatan lanjut.
Terbaru semalam, dua lelaki dimasukkan ke HPP selepas mengalami pening
dan muntah dipercayai selepas meminum sejenis kopi campuran.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan