Oleh Ainor Rahim
SHAH ALAM: Pengumuman Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa
parti itu bakal bertanding di parlimen Permatang Pauh pada Pilihan Raya
Umum ke-14 (PRU14), merupakan kemuncak kebencian PAS terhadap Datuk Seri
Anwar Ibrahim dan PKR secara keseluruhannya.
Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution berkata demikian mengulas
berkenaan keputusan PAS untuk meletakkan calon di kerusi kubu kuat
parti reformasi itu pada PRU14 akan datang.
"Dari segi politik itu adalah petanda jelas kemuncak kebencian Haji
Hadi terhadap Anwar Ibrahim dan parti Keadilan (PKR). Sehingga beliau
sendiri turun (ke Permatang pauh) untuk mengumumkan PAS bertanding,"
katanya kepada Antarapos hari ini.
Tegasnya, meskipun parti pimpinan Hadi itu menyatakan keyakinan untuk
menawan kembali kerusi yang pernah dimilikinya pada Pilihan Raya Umum
1978 itu, namun menurut Saifuddin, beliau yakin Permatang Pauh akan
kekal menjadi milik PKR.
Semalam, Hadi membuat kejutan dengan mengumumkan PAS bakal bertanding
di kerusi Permatang Pauh dan tiga DUN di dalam parlimen itu iaitu
Seberang Jaya, Permatang Pasir dan Penanti.
Perkara itu diumumkan selepas program Amanat PRU14 "PAS Tawan Permatang Pauh" di Bukit Mertajam, Permatang Pauh malam tadi.
Untuk rekod, PAS bertanding di kerusi parlimen Permatang Pauh sejak
1969 sebelum menyerahkan kerusi itu kepada PKR pada pilihan raya tahun
1999.
Anwar pula bertanding parlimen itu sejak 1982 atas tiket Umno.
Pada PRU 1999, Anwar tidak bertanding, dan diwakili isterinya Datuk
Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang memenangi kerusi parlimen tersebut
sehingga PRU 2008, sebelum mengosongkannya pada 2009 untuk memberi
peluang kepada suaminya kembali menjadi ahli parlimen kawasan itu.
Kerusi Permatang Pauh kini disandang oleh Wan Azizah, yang memenanginya
menerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) yang diadakan pada Mei 2015 berikutan
Anwar hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen.
Saifuddin dalam pada itu juga membangkitkan 'sejarah' di mana ujar
beliau, PAS sememangnya sudah lama 'menyerang' PKR sejak PRK Permatang
Pauh dua tahun lalu, meskipun ketika itu mereka berada di bawah gabungan
Pakatan Rakyat (PR).
"Perlu diingat bahawa pada PRK yang lepas, yang ditandingi oleh Wan
Azizah, PAS Pulau Pinang dan PAS Permatang Pauh telah boikot sepenuhnya.
Sebenarnya PAS tidak membantu Keadilan dah lama dah. Yang paling akhir
ialah waktu PRK.
"Selepas Anwar masuk penjara, Wan Azizah bertanding PRK waktu itu PAS
sudah pun memboikot. Haji Hadi tidak turun, PAS Permatang Pauh juga
tidak turun, Bukan sahaja tidak turun malah menyerang. Tapi hakikatnya
Permatang Pauh kekal sebagai kubu kuat PKR," tambahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan