KUALA LUMPUR: Felda diarah mengambil tindakan tatatertib dan tindakan
undang-undang terhadap mereka yang cuai dalam menjaga kepentingan agensi
kerajaan itu dan sayap pelaburannya, Felda Investment Corporation Sdn
Bhd (FICSB).
Menurut Jabatan Perdana Menteri (JPM), laporan audit forensik yang
dijalankan terhadap projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) menunjukkan
terdapatnya ketidakpatuhan prosedur perolehan dan kecuaian dalam
menjaga kepentingan Felda.
"Felda diarahkan mengambil tindakan tatatertib dan/atau undang-undang
ke atas mereka yang dinamakan dalam laporan audit itu, yang didapati
cuai dalam menjalankan tugas, salah nyata dan tidak menjaga kepentingan
Felda dan FICSB," menurut kenyataan JPM hari ini.
KLVC adalah projek yang sedang dibangunkan Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB) di kawasan tanah milik Felda.
Menurut kenyataan itu pasukan firma audit yang dilantik melakukan audit
forensik terhadap projek berkenaan telah menyerahkan laporan akhir
kepada JPM pada 2 Februari lepas.
JPM pula membentangkan laporan itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri
Najib Razak, selaku menteri bertanggungjawab ke atas Felda, pada 5
Februari.
"Perdana menteri bersetuju bahawa satu jawatankuasa perunding
ditubuhkan bagi mengkaji semula perjanjian antara FICSB dengan SPSB dan
Synergy Promenade Kuala Lumpur Vertical City Sdn Bhd (SPKLVCSB),"
menurut kenyataan itu.
Jawatankuasa perunding itu dianggotai Datuk Dr Yusof Ismail dari
Kementerian Kewangan; Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU), Datuk
Nik Azman Nik Abdul Majid; Pengarah Besar Felda, Datuk Ab Ghani Mohd
Ali; Timbalan Ketua Setiausaha JPM, Datuk Zainal Abidin Abu Hassan; dan
Ketua Pengarah Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), Datuk Seri Ahmad Husni
Hussain.
Menurut JPM, Najib juga bersetuju supaya ditubuhkan satu jawatankuasa
'domestic enquiry' untuk mengambil tindakan ke atas cadangan dan syor
yang dibuat dalam laporan audit itu.
Menurut kenyataan itu, kajian audit berkenaan bermula pada 4 Januari
2018 dengan merangkumi keseluruhan proses bermulanya cadangan projek
pembangunan KLVC, proses pelaksanaan projek sehingga isu pindah hak
milik tanah Felda.
Sebanyak 240 dokumen di pejabat Felda, FICSB, Pejabat Tanah dan Galian
Wilayah Persekutuan serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur terbabit dalam
kajian audit itu. Ia turut melibatkan temu bual dengan semua pegawai
terbabit di agensi berkenaan.
Menurut kenyataan itu, JPM sudah meneliti laporan audit itu dan bersetuju serta menerima laporan berkenaan.
"Secara keseluruhannya, laporan audit itu telah memenuhi objektif
pengauditan yang ditetapkan dan kerajaan berpuas hati dengan laporan
pasukan audit," kata JPM.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan