DETIK DAILY
Oleh Dr ROSLI KHAN
Penjelasan Tan Sri Shahrir Samad tentang apa yang berlaku di Johor Bahru
beberapa hari lalu di mana penyokong BN menghalang saudara Lim Kit
Siang dan pihak Pakatan Harapan daripada berdialog dengan penduduk
Kampung Bakar Batu, pastinya mencuit hati ramai pembaca yang mengikuti
perkembangan politik semasa.
Shahrir Samad, yang suatu masa dulu, termasuk dalam golongan ahli Umno
yang dikira terpelajar, bekas penuntut Kolej Melayu Kuala Kangsar
(MCKK), sepertimana juga Datuk Seri Anwar Ibrahim, Rafizi Ramli, Datuk
Seri Hishamuddin Hussein Onn, Datuk Seri Nazri Aziz, Datuk Saifuddin
Abdullah, Dr Hatta Ramli dan ramai lagi.
Yang pasti mereka semuanya bermula sebagai anak muda yang terpelajar
dengan budi pekerti yang tinggi, penuh disiplin dan seharusnya faham
tentang adat-adat Melayu dan adab di setiap penjuru perjawatan yang
mereka sandang dan dipertanggungjawabkan. Apa lagi semua ahli politik
mengangkat sumpah untuk menjalankan tugas mereka dengan ikhlas, jujur
dan amanah.
Tetapi agak malang setelah mereka lama menceburi diri dalam arena
politik, kecerdikan yang dimiliki, persisnya semakin hari semakin
terhakis.
Bagi mereka yang cekap dalam matematik (mengikut Cartesian Co-ordinate
System), sekiranya kecerdikan itu bermula (mengikut masa) di axis y yang
positif (vertical) dan kebodohan itu di axis y yang sama tapi di
bahagian negatif, dan apabila faktor kelamaan berpolitik digariskan yang
menyebabkan kecerdikan itu menurun menurut masa (axis x yang
horizontal), lama kelamaan penurunan yang terjadi dari kehakisan yang
berlarutan itu akan memasuki zon negatif. Ini bererti hilangnya
kecerdikan dan timbulnya kebodohan.
Apakah perkara sebegini ada berlaku kepada pelajar cemerlang kita oleh
kerana terlalu lama melibatkan diri dalam arena politik (iaitu masa,
yang bertahun tahun), yang menjadikan fikiran mereka buntu, tidak lagi
dapat berfikir dengan sempurna, menjadi bebal dan tidak lagi dapat
membezakan yang mana betul dan yang mana salah?
Apabila kita bercakap tentang adab, Dewan Bahasa, mentakrifkannya
sebagai perangai (termasuk tuturkata) dengan maksudnya; yang sivil,
sopan dan bersikap baik atau dalam Bahasa Inggerisnya to be civil,
polite or courteous, and well mannered. Inilah maksud yang dinamakan
beradab.
Jadi apabila Shahrir menyebut kalau masuk kampung mestilah dengan adab;
apakah maksud beliau, masuklah dengan kelakuan yang sivil, sopan dan
bersikap baik?
Apakah kumpulan dari Pakatan Harapan tempoh hari masuk ke Kampung Bakar
Batu dengan bersikap tidak sivil, tidak sopan dan tidak baik?
Atau beberapa penduduk kampung itu sendiri atau mungkin sebenarnya ada
beberapa orang luar (infiltrators) yang kebetulan juga masuk ke situ
dalam masa yang sama dan bersikap tidak sopan, tidak baik dan tidak
sivil terhadap kumpulan dari Pakatan Harapan? Atau mereka ini dengan
sengaja mahu merosakkan program pada malam itu?
Adab sebagai kayu pengukur
Shahrir adalah seorang yang berpengalaman dalam politik. Sekiranya dia
mahukan adab dijadikan garis panduan dan kayu pengukur perangai dan
tuturkata untuk kesemua ahli-ahli politik di Malaysia, ini adalah satu
pendekatan yang baik dan cemerlang. Ramai yang percaya perkara ini akan
disambut baik oleh pihak Pakatan Harapan dan ahli-ahli parti.
Tetapi apakah adab ini harus dipraktikkan oleh mereka dari Pakatan Harapan sahaja dan tidak kepada mereka dari BN?
Atau sewajarnya untuk kesemua ahli ahli politik tidak kira dari parti mana, PH ataupun BN?
Sekiranya adab ini melibatkan ahli-ahli politik dari BN juga, pastinya ramai pembaca akan tertanya-tanya.
Apakah penggunaan ungkapan ‘kepala bapak kau’ yang diucapkan oleh Datuk
Seri Najib Razak di persidangan MCA tempohari itu beradab?
Apakah episod pelakun Mat Over yang cuba menyepak pengarah filem David
Teo di hadapan Najib dalam majlis dialog bersama artis pada bulan Mei
tahun sudah itu beradab?
Di mana Shahrir ketika itu? Kenapa beliau cuma diam?
Atau sikap dan segala tindak tanduk yang dilakukan oleh ahli politik
dari Selangor, Jamal Yunos, ketua Umno Sungai Besar itu, juga termasuk
dalam golongan beradab?
Kenapa kita tidak pernah mendengar komen tentang adab-adab dalam
penipuan, korupsi, penyelewengan, pembaziran, pencurian bon kerajaan dan
sebagainya dari ahli parlimen Johor Bharu ini?
Atau sememangnya Shahrir mempunyai double standard? Satu adab yang
tinggi untuk HARAPAN dan satu lagi, yang pastinya adab yang rendah atau
tiada adab langsung untuk kumpulan BN?
Isu-isu lebih besar
Banyak lagi contoh contoh yang boleh diberi tentang perangai dan tutur
kata ahli-ahli politik yang dikira tidak beradab tetapi tidak mendapat
teguran dari Shahrir.
Ramai di antara pembaca yang inginkan kejujuran. Maka berlakulah jujur dalam erti kata sebenarnya.
Rakyat lebih percaya kepada kejujuran dan kebenaran. Ini juga adalah
adab politik, bukan saja adab masuk kampung.
Sebagai seorang ahli politik yang berpengalaman, apakah isu sebegini
yang menjadi bahan politik untuk Shahrir? Bagaimana dengan isu-isu yang
lebih besar yang melanda negara, seperti 1MDB, GST, kos sara hidup yang
tinggi, pengangguran mahasiswa dan sebagainya? Apakah tidak perlu ada
adab politik untuk menghuraikan isu-isu ini?
Atau apakah isu-isu begini tidak lagi penting kepada seorang yang begitu
lama berkecimpung di arena politik? Apalagi dari seorang bekas pelajar
MCKK?
Para pembaca tentu sekali berharap bahawa teori kehakisan kecerdikan
yang berkait rapat dengan panjangnya masa dalam arena politik yang
berlandaskan sistem Cartesian Co-ordinate itu tadi, tidak ada
kebenarannya.
*ROSLI KHAN Merupakan perunding pengangkutan di Kuala Lumpur dan
sering mengembara ke kawasan terpencil untuk menulis berkenaan ekonomi
dan politik Malaysia.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan