DETIK DAILY
KUBANG KERIAN: Kubang Kerian, jiran kepada Kota Bharu, terkenal sebagai
bandar universiti. Di sini terletaknya salah satu pusat latihan
perubatan untuk bakal doktor di seluruh Malaysia, di Hospital Universiti
Sains Malaysia.
Bandar ini juga menempatkan istana diraja Kelantan, dan menjadi tempat kediaman rasmi Sultan Kelantan serta kerabat diraja.
Bagi rakyat Kelantan, ia juga terkenal dengan pondok terbesar di negeri
itu, Pondok Pasir Tumboh yang cukup sinonim dengan pemimpin lapisan PAS.
Parlimen Kubang Kerian, yang mempunyai 65,390 pengundi berdasarkan
statistik 2013, dibentuk pada pilihan raya umum 1995, selepas
persempadanan semula pada 1993.
Sebelum itu, ia dikenali sebagai Nilam Puri, dan pernah diwakili Mohamad Sabu.
Pada 1990, Mat Sabu, yang kini memimpin Amanah, mengalahkan Tan Sri
Annuar Musa, orang kuat Kelantan yang kemudiannya memimpin asakan Umno
untuk merampas kembali negeri itu daripada PAS.
Pada pilihan raya berikutnya, Mat Sabu terus menjadi pilihan pengundi walaupun merupakan “calon import” dari Pulau Pinang.
Beliau menewaskan calon BN dengan majoriti besar, melebihi 10,000.
Aura Mat Sabu mungkin sudah lama hilang di sini. Tetapi hakikatnya,
Kubang Kerian berkait rapat dengan pemimpin Amanah, parti serpihan PAS
yang dipimpin Mat Sabu.
Pada 1999, Datuk Husam Musa, kini naib presiden Amanah, bertanding dan
menang. Untuk 2 pilihan raya berikutnya, Kubang Kerian diwakili
Salahuddin Ayub, kini timbalan presiden Amanah.
Dengan berubahnya iklim politik Kelantan selepas perpecahan PAS, Kubang
Kerian boleh menjadi kayu pengukur kekuatan parti Islam yang sudah
memerintah negeri ini hampir 30 tahun.
Faktor Husam, yang satu masa dulu disebut-sebut menggantikan Datuk Nik
Abdul Aziz Nik Mat, dijangka menghangatkan suasana pilihan raya di
Kubang Kerian.
Husam kini merupakan Adun Salor, salah satu dari 3 kerusi negeri di bawah Kubang Kerian.
Apa yang pasti, Kubang Kerian bakal menyaksikan antara pertembungan 3 penjuru paling sengit di Kelantan.
husm
Kubang Kerian terkenal dengan Hospital USM, antara pusat latihan doktor terbesar di Malaysia.
Bagi Umno, pertembungan 3 penjuru mencerahkan peluangnya untuk merampas kerusi itu buat pertama kali sejak beberapa dekad.
Tetapi Ketua Umno Kubang Kerian, Datuk Seri Muhammad Abdul Ghani, akur akan realitinya.
“Kita akui sukar nak tawan kubu kuat PAS di Kubang Kerian,” katanya
Kini, dengan “perpecahan” PAS, yang melahirkan Amanah, iltizam itu
diperbaharui, walaupun Ghani sedar Umno juga berpecah dan melahirkan
PPBM.
“Kita akui Umno juga berpecah tapi tidak ramai dan seteruk pembangkang,” katanya.
Pakatan Harapan (PH) akan meletakkan calon Amanah di sini, tetapi
gabungan itu menyifatkan dirinya “underdog” yang mempunyai peluang
kecil.
Ini menyebabkan PH kini tertumpu kepada sokongan “pengundi senyap”, yang
menurut Pengerusi Pakatan Harapan Kubang Kerian, Datuk Abdul Halim
Yusof, “semakin menerima” gabungan itu.
“Kita turun bertanding di Kubang Kerian nanti sebagai ‘underdog’, sebab
kita akui Kubang Kerian kubu kuat PAS. Nak kata kita yakin menang, itu
saya tidak boleh kata sebab ini kubu kuat PAS,” katanya ketika ditanya
peluang menewaskan penyandang dari PAS.
Siapa pengundi senyap yang dimaksudkannya?
“Banyak yang masih berdiam diri, mereka mungkin tidak mahu perbalahan
antara jiran dan jemaah masjid bila berlakunya perbezaan pandangan
parti,” kata Halim.'
Pada 2013, Ahmad Baihaki Atiqullah dari PAS memenangi kerusi ini dengan
majoriti bergaya 16,741, menewaskan calon BN, Anuar Safian.
Begitu juga di kesemua 3 kerusi negeri di bawah Kubang Kerian, di mana PAS menyapu bersih dengan majoriti selesa.
Yang Dipertua PAS Kubang Kerian, Abdul Rahman Yunus berazam mengekalkan rekod itu.
“Jentera kita sudah sedia untuk kita pertahan kecemerlangan Kubang Kerian di bawah PAS,” katanya
Beliau bagaimanapun mengakui iklim politik baharu yang memberi “sedikit kesan”, dengan kehadiran Amanah dan PH.
Abdul Rahman tidak secara jelas mengesahkan spekulasi Timbalan Presiden
PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man akan dicalonkan oleh PAS di Kubang
Kerian.
“Kami serah pada pemimpin buat keputusan,” katanya.
Menurutnya, penglibatan Husan, Mat Sabu dan Salahuddin di kerusi ini
menunjukkan “calon luar” adalah sesuatu yang biasa di Kubang Kerian.
“Kita terima sesiapa calon yang boleh menang,” katanya.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan