Oleh Ainor Rahim
PETALING JAYA: PPBM telah menubuhkan satu Lembaga Disiplin sebagai
usaha mengekang ahlinya mengeluarkan kenyataan tanpa pengetahuan
pimpinan tertinggi, kata Ketua Penerangan PPBM Datuk Kamaruddin Md
Noor.
Jelas beliau lagi, dengan penubuhan badan tersebut segala aduan mahupun
bantahan boleh dirujuk terlebih dahulu kepada pihak berkenaan.
“Pucuk pimpinan telah menubuhkan jawatankuasa disiplin untuk menangani
hal-hal berkaitan dengan perkara penyalahgunaan kaedah oleh ahli parti
dalam menyuarakan (pandangan). Apa-apa bantahan dan kenyataan yang
dilihat bertujuan mensabotaj parti.
"Mana-mana ahli yang dikira sebagai melakukan yang menjejaskan
kepentingan parti boleh diambil tindakan oleh lembaga disiplin,” katanya
dalam sidang media di Bangunan Yayasan Selangor, Petaling Jaya hari
ini.
Menurut Kamaruddin, ia juga termasuk kenyataan yang dilakukan secara terbuka di media sosial, termasuk laman Facebook.
Lembaga disiplin berkenaan dipengerusikan Tan Sri Sanusi Junid.
Tambahnya setakat ini, tiga individu sudah pun dipecat keahliannya
berhubung tindakan mereka menyelar bukan sahaja parti malah kepimpinan
tertinggi parti itu.
Kamaruddin turut menasihati supaya ahli tidak ‘menyerang’ PPBM dengan
meluahkan rasa tidak puas hati secara terus kepada media, sebaliknya
menerusi saluran yang betul.
Dalam sidang media yang sama, Kamaruddin turut memaklumkan Lembaga
Disiplin sedang menyiasat ahlinya yang membuat sidang media di Kota
Bharu beberapa hari lepas, yang dakwanya dibuat tanpa pengetahuan
pimpinan.
“Ya tanpa pengetahuan. Kita pun terkejut juga.
"Tanpa pengetahuan ketua bahagian pun. Saya dah semak tadi dengan Tan
Sri. Dia pun kata dia tak tahu. Ya sudah pasti (tanpa kebenaran).
“Bergantung pada laporan yang akan kita terima. Sekarang ini sedang
dibuat penyiasatan. Sama ada mereka betul. Kadang kadang kan dia kata
nampak macam saya tapi bukan saya,” tambahnya.
Baru-baru ini, media melaporkan akar umbi PPBM Kota Bharu melahirkan
rasa tidak puas hati terhadap kekangan parti termasuk isu pembahagian
kerusi DUN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan