MUTAKHIR – Saya dimaklumkan - tetapi bukan oleh Tabung Haji – bahawa
kaedah kiraan hibah 2017 telah dikembalikan kepada formula asal seperti yang digunakan
bagi tahun 2016 yang berasaskan baki purata minimum bulanan.
![]() |
| Siaran akhbar TH hari ini |
Walaupun pegawai
bahagian perhubungan awam TH yang saya hubungi tidak memberi apa-apa maklum
balas selain mengatakan “okay kami akan baca”, namun jelaslah daripada kenyataan
akhbar di atas bahawa TH telah mengubah formula baru yang sangat-sangat
merugikan penyimpan itu kepada formula asal.
Dalam konteks ini, saya
menyokong penuh cadangan pembahas yang menggunakan nama samaran “Group 8” yang
berbunyi: “Seharusnya seluruh ahli lembaga pengarah dan ahli lembaga pelaburan
harus meletak jawatan serta merta kerana tidak bersikap jujur.”
Saya setuju dengan
beliau bahawa ahli lembaga pengarah dan ahli lembaga pelaburan TH tidak bersikap jujur. Tetapi saya tidak yakin sedikit pun yang mereka akan meletakkan jawatan.
Soalnya
mengapakah mereka mengubah kepada formula yang merugikan pendeposit?
Adakah kerana TH mengalami masalah kewangan seperti yang pernah diberi
amaran oleh Bank Negara?
POSTING ASAL
SAYA yakin ramai orang Islam sudah baca atau dengar berita Tabung Haji (TH) mengisytiharkan hibah yang lebih tinggi untuk penyimpan bagi tahun kewangan 2017 berbanding tahun 2016.
![]() |
| Jamil Khir di majlis pengumuman hibah TH 2017 |
Semua penyimpan dibayar hibah
tahunan 4.50 peratus manakala yang belum mengerjakan haji dibagi hibah tambahan
(hibah haji) 1.75 peratus.
Itulah yang diumumkan
oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Datuk Seri) Jamil Khir Baharom seperti
yang dilaporkan oleh Bernama pada 7 Februari.
"Bayaran hibah
sebanyak 6.25 peratus ini akan memberi manfaat kepada 93 peratus atau 8.7 juta
pendeposit yang belum menunaikan ibadat haji. Bagi 600,000 pendeposit yang
telah menunaikan haji akan menerima hibah sebanyak 4.50 peratus," kata
menteri agama itu.
Bagi tahun kewangan
2016, TH mengumumkan hibah 4.25 peratus kepada semua pendeposit dan hibah haji 1.5
peratus kepada pendeposit yang belum menunaikan haji. (Berita penuh di sini).
Tetapi hari ini
seorang kawan yang berupa ahli ekonomi
dan penyelidik terkenal menggesa saya membuat analisis dan meminta pengesahan TH
mengenai kaedah pengiraan hibah tahun 2017.
Jadi
saya minta
sangat-sangatlah agar TH memberi maklum balas pasal saya bimbang
analisis saya
salah atau kurang tepat. Sebagai blogger bebas, saya tidak ada akses
kepada sumber asal berita. Saya mengasaskan analisis saya kepada
maklumat tempat awam (public domain information) saja.
Menurut ahli ekonomi
itu, kaedah pengiraan hibah bagi tahun kewangan 2017 mungkin akan memberi
pulangan sebenar yang lebih rendah kepada penyimpan.
Maksudnya, walaupun dari
segi peratusan kadar hibah naik setengah peratus, tetapi pulangan mutlak kepada
penyimpan lebih rendah daripada tahun 2016.
Kaedah Kiraan Berubah?
Ini adalah kerana
pengiraan hibah dibuat berasaskan kepada baki minimum tahunan darab kadar
hibah tahunan 4.50 peratus.Ini adalah kadar yang diberikan kepada
pendeposit yang sudah menunaikan haji.
![]() | ||
| Kaedah kiraan hibah 2017 |
Saya berikan andaian
seorang pendeposit yang saya beri nama Awang bin Lebai Man mempunyai baki RM100 pada 1
Januari 2017. Kemudian setiap bulan dia tambah RM100.
Katakan dia tidak membuat
sebarang pengeluaran sepanjang tempoh itu maka baki simpanannya pada 31
Disember 2017 adalah RM1,300.
Berdasarkan pengumuman
oleh Jamil Khir, perolehan hibah dia hanyalah RM4.50 iaitu berasaskan pulangan 4.50
peratus ke atas baki minimum tahunan RM100 (RM100 x 4.50 peratus) walaupun simpanannya yang sebenar adalah RM1,300.
Kiraan ini berasaskan
andaian Awang sudah pun mengerjakan haji jadi hanya berhak mendapat hibah 4.50
peratus.
Hatta kalau Awang memasukkan
RM2 juta pada 2-1-2017 sekali pun, pendapatan hibah dia tetap RM4.50 sebab baki
minimum simpanan dia adalah RM100.
Ini berbeza dengan hibah
tahun kewangan 2016 yang diasaskan kepada baki purata minimum bulanan.
![]() |
| Kaedah kiraan hibah 2016 Add caption |
Kalau formula 2016 dikekalkan,
Awang akan dapat pulangan RM33.75 berdasarkan baki purata minimum RM750 (RM750 x
4.50 peratus). Simpanan purata bulanan sebanyak RM750 itu adalah baki minimum
bulanan.
Saya
sendiri tidak begitu
pasti ketepatan analisis saya ini dan dengan penerangan ahli ekonomi itu
sebab kalau kami betul, penyimpan TH sebenarnya mengalami penyusutan
pulangan 650 peratus apabila formula baru ini diperkenalkan.
Adakah hal seperti ini
boleh terjadi?
Jadi saya wajib tanya TH
adakah andaian dan analisis saya ini tepat?
Kalau tepat bererti pendeposit TH mendapat pulangan yang sangat rendah.
Tetapi kalau saya silap,
saya mohon berbanyak-banyak maaf dan memberi ruang secukupnya di dalam blog ini
kepada TH untuk menafikannya dan membuat penjelasan.
Wallahuaklam.




Tiada ulasan:
Catat Ulasan