Temubual
bersama pekerja logistik, Norhayati Odin ketika tinjauan lensa Malaysia
Gazette di sekitar kawasan Sungai Besi, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI,
KUALA LUMPUR – Bukan mudah bagi kerajaan khususnya Dewan
Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ‘menjaga’ ibu kota yang sejak dahulu tidak
pernah lekang dengan masalah akibat bilangan penduduk yang padat.
Kepadatan penduduk di Kuala Lumpur (KL) banyak menimbulkan masalah
dan selain pembangunan infrastrukturt masalah utamanya adalah mentaliti.
Pada 1 Februari lepas, Hari Wilayah Persekutuan melibatkan Kuala
Lumpur, Putrajaya dan Labuan baru sahaja disambut bagi tahun ini namun
beberapa insiden yang berlaku mencalarkan imej ibu kota baru-baru ini.
Insiden baling kerusi sehingga menyebabkan seorang remaja lelaki maut
baru-baru di rumah flat Pantai Dalam cukup menimbulkan kemarahan
rakyat.
Jelas masih ada ‘mentaliti setinggan’ dalam penempatan penduduk di Kuala Lumpur.
Tinjauan Malaysia Gazette mendapati, rata-rata warga kota masih
ramai yang tidak berpuashati dengan isu-isu yang sama seperti sampah,
kesesakan jalan raya, pengangkutan dan kemudahan awam.
Bagaimanapun mereka tidak menafikan DBKL juga banyak melaksanakan
inisiatif serta projek demi keselesaan rakyat namun ada segelintir warga
kota tidak menghargainya malah menuding jari menyalahkan kerajaan.
Seorang pekerja swasta, Norhayati Odin, 42, tidak sesekali
menyalahkan kerajaan yang mengambil inisiatif menyediakan rumah mampu
milik sebaliknya masyarakat setempat yang mempunyai kurang kesedaran
sivik antara punca mengapa masalah lama masih berleluasa.
“Kerajaan ambil inisiatif sediakan rumah mampu milik kerana tidak
semua mampu memilik rumah besar dan mahal apatah lagi di KL tetapi
apabila diberikan rumah, kawasan persekitarannya tidak pula terjaga.
“Keadaan di kawasan rumah kos rendah terutamanya pangsapuri bukan
sahaja kotor dan terdapat banyak kemudahan yang rosak serta tidak mesra
Orang Kurang Upaya tetapi terdapat bau yang kurang menyenangkan terutama
ketika menaiki tangga.
“Saya rasa pihak berwajib perlu mengenakan undang-undang ketat,
mungkin seperti tinggal di kondominium. Kita bayar kos penyelengaraan
mahal tetapi pelbagai jenis peraturan dikenakan, dan kita rasa selamat.
“Jika anda boleh beli kereta lebih daripada seorang isi rumah di PPR,
boleh beli gajet mahal-mahal, mengapa tidak berbelanja lebih sedikit
untuk kes penyelengaraan?” soalnya.
Bagi pemandu trak Tenaga Nasional Berhad, Azwan Shafiq, 23, pula,
selain daripada masalah di kawasan perumahan bertingkat – antara masalah
utama warga KL adalah kesesakan lalu lintas sampai tengah malam. Azwan Shafiq Amir
“Tengah malam pun kadang-kadang sesak kerana ada pihak yang membaiki
jalan dan sebagainya. Ini kerana terlalu ramai memiliki kereta dengan
bilangan yang banyak sehingga menyebabkan berlakunya kesesakan teruk.
“Banyak masa terbuang di atas jalan raya sahaja. Saya berasal dari
Melaka, di sana tidak banyak masalah seperti ini. Bayangkan hari-hari
hadap jalan raya sesak.
“Ini juga antara punca mengapa rata-rata kita mempunyai masalah
psikologi kerana emosi terganggu. Mungkin kerajaan perlu lakukan sesuatu
untuk tangani permasalahan ini,” katanya.
Seorang pelajar kolej swasta, M. Mathew, 21, masalah utama penduduk
di flat adalah mereka ada mentaliti tidak ambil kisah dan mementingkan
diri. M.Mathew
“Semua pihak termasuk kerajaan dan penduduk perlu memainkan peranan,
bukannya menyalahkan sebelah pihak sahaja. Sekiranya DBKL mahu pasang
kamera litar tertutup (CCTV) mungkin ada pula kes penghuni curi dan
jual.
“Kalau boleh pihak berkuasa ambil tindakan tegas. Kalau pihak
berkuasa lebih serius dalam peruntukan undang-undang maka kes seperti
ini akan berkurangan,” tegasnya.
Dalam pada itu, bekas tentera, Azhar Ahmad, 50, berkata, masalah
parkir dan kerosakan jalan raya juga tidak pernah selesai di ibu kota
selain masalah sampah. Azhar Ahmad
“Pihak berkuasa seperti DBKL telah lakukan yang terbaik tetapi kita
mohon perbanyakkan lagi inisiatif untuk kita selesai isu seperti ini.
Bukan kita suka kena saman atau kena tunda.
“Kita juga gembira dengan inisiatif DBKL yang sediakan laluan basikal
walaupun makan kos jutaan ringgit dan akhirnya terpaksa dibuat semula.
Mungkin kos itu boleh digunakan untuk perkara lain,” kata Azhar.
Sementara itu, seorang peniaga, Muhammad Mahdi Mohaeree, 25, pula
mendakwa ramai warga kota orang terpelajar namun ‘kecerdikan’ mereka
cuma di atas kertas ijazah sahaja kerana masih ramai tidak ada kesedaran
sivik. Muhammad Mahdi Mahaeree
“Ramai sudah kekurangan semangat sivik dan moral. Emosi mengatasi
segala-galanya. Sifat kemanusian semakin berkurangan sehingga sekiranya
seseorang itu melakukan kebaikan, dengan pantas perilaku itu menjadi
viral.
“Orang buat baik sudah jadi viral kerana jarang sekali orang buat
baik, segala kemudahan dirosakkan, sampah sarap dibuang merata, malas
turun bawah, sampah dan harta benda lain di buang dari atas tingkap
sahaja.
“Tidak guna jika kerajaan sahaja melakukan pelbagai inisiatif tetapi
kita sebagai rakyat bukan sahaja tidak menghargainya tetapi ambil mudah
dan perlekehkan setiap perkara. Kita jadi manusia yang sentiasa menuding
jari kepada orang walaupun kesalahan itu dilakukan oleh kita sendiri,”
katanya.- MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan