Ishak Isa berkata, dia sudah tinggal di kawasan itu dan melalui pertukaran tiga parti pada kerusi Parlimen dan menambah rakyat di sini lebih mementingkan calon berbanding parti.
"Lihat kepada Astaman (Abdul Aziz) ketika Barisan Nasional berkuasa. Tidak banyak yang beliau lakukan ketika memegang kawasan itu, ini sebabnya calonnya bertukar kepada (calon PAS, Dr) Lo'Lo' (Mohamad Ghazali)," katanya yang berusia 70 tahun kepada The Malaysian Insight ketika ditemui pada sesi bertemu rakyat Wilayah Persekutuan dengan penyandang kerusi Johari Abdul Ghani.
Astaman daripada BN merupakan ahli Parlimen Titiwangsa dari 2004 hingga 2008. Dr Lo'Lo' memenangi kerusi itu pada 2008 dan meninggal dunia pada 2011. Johari, yang kini merupakan Menteri Kewangan Kedua merampas kembali kerusi itu pada 2013 dengan kemenangan tipis 866 undi.
Ishak berkata Dr Lo'Lo menjalankan tugas dengan baik terutamanya dalam isu sumber pendapatan masyarakat di Titiwangsa, sebagaimana yang Johari lakukan hari ini.
"Jadi kami beri peluang kepada Johari, dan beliau membuktikannya dengan baik. Beliau membantu kami dengan masalah tanah, dengan mendapatkan lesen dan mengadakan kenduri (jamuan komuniti) untuk membawa semua masyarakat bersama-sama di Titiwangsa," kata Ishak yang tinggal di Kampung Pandan.
Johari mengingatkan pengundi di Titiwangsa hari ini pada Kenduri 1Wilayah Persekutuan. Beliau menceritakan rekodnya, mengingatkan mereka yang hadir bahawa beliau berjaya menyelesaikan isu tanah warisan di Kampung Pandan Indah.
"Saya berjaya menyelesaikan isu yang menyelubungi Kampung Pandan Indah sejak lebih 40 tahun lalu."
"Dan saya diberitahu hari ini oleh Kementerian Wilayah Persekutuan yang mereka bersetuju untuk melihat bagaimana nak menyelamatkan tanah ini dan mengklasifikasikannya sebagai tanah warisan untuk Kampung Pandan Indah," katanya pada majlis yang turut dihadiri Menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor.
Johari berkata dengan status tanah baru itu, satu lagi isu yang dimohon oleh gereja Chapel of Our Lady of Good Health di Kampung Pandan juga diselesaikan.
"Saya juga igin maklumkan bahawa gereja di Kampung Pandan Indah turut berterima kasih kepada kementerian wilayah persekutuan kerana menyelesaikan masalah tanah warisan, mereka turut menyelesaikan isu tanah yang mana menjadi lokasi gereja itu kini," katanya.
Seorang lagi pengundi Titiwangsa, Omar Alif Sazali, 33 berkata, Johari merupakan ahli Parlimen yang baik dan mengubah persepsinya terhadap calon BN.
"Saya masih ragu tentang Barisan Nasional namun pada pilihan raya umum akan datang, saya akan mengundi Johari kerana beliau faham apa yang diperlukan oleh orang Titiwangsa macam saya," kata Omar dari Kampung Keramat.
"Saya rasa BN akan mengekalkan kerusi ini dengan bantuan Johari. Pembangkang lebih kepada isu nasional, yang mana rakyat seperti kami hanya bimbangkan soal pendapatan," katanya.
Johari sudah biasa dengan kawasan ini yang mana setiap hari Jumaat, beliau akan turun untuk sesi bertemu rakyat di pusat khidmat masyarakat di Desa Pandan.
Titiwangsa terdiri daripada 68% masyarakat Melayu, 20% Cina dan 10% India.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan