shahbudindotcom
Misi
dan visi melahirkan individu berkeperibadian mulia serta berdaya saing
hanya akan tercapai jika masyarakat sedia mengubah cara pemikiran
mereka, demikian kata Menteri Pengajian Tinggi, Idris Jusoh.
Untuk itu, kata beliau, corak pemikiran yang hanya pada tahap "jutaan" harus segera diubah kepada "bilion" dan "trilion".
Kalau
hendak jadi yang terbaik di dunia, mereka perlu sasarkan bukan saja
"jutaan", tetapi mesti kepada "bilion" dan "trilion", kata Idris lagi.
Memang
sebelum ini, masyarakat kita agak jarang-jarang mendengar perkataan
"bilion" atau "trilion", sebaliknya yang biasa mereka dengar hanyalah
"jutaan" saja.
Malah, ada orang yang tak tahu pun "bilion" itu berapa jumlahnya, apatah lagi "trilion".
Kita
hanya biasa mendengar perkataan "bilion" sejak skandal 1MDB meletus di
mana hutangnya didapati mencecah lebih RM50 bilion, satu angka yang
mengejutkan semua orang, manakala wangnya yang dipercayai dilencongkan
pula mencecah AS$4.5 bilion atau kita-kira RM20 bilion atau RM20,000
juta.
Selain
itu, perkataan "bilion" lebih menjadi sebutan rakyat apabila dalam
akaun bank peribadi Najib didapati ada wang sejumlah RM2.6 bilion atau
RM2,600 juta banyaknya, satu jumlah yang tak terfikir oleh kebanyakan
orang boleh dimiliki oleh seorang pemimpin yang mengetuai negara di mana
lebih 7 juta rakyatnya layak menerima BR1M.
Najib
mengatakan wang tersebut adalah derma daripada kerabat Diraja Arab
Saudi, tetapi DOJ menyimpulkan ianya bersumberkan daripada dana 1MDB
yang dilencongkan dan disalurkan melalui satu akaun bank kepunyaan Eric
Tan atau Jho Low.
Hari
ini, disebabkan jumlah wang yang ada dalam akaun Najib itu, rata-rata
rakyat kebanyakan yang tak berapa ada duit pun sudah biasa menyebut
perkataan "bilion" dalam perbualan seharian mereka, bahkan ayat "jutaan
maaf" juga sudah ditukar menjadi "bilion kemaafan".
Perkataan
"trilion" pula mula menjadi sebutan sejak setahun dua kebelakangan ini
berikutan angka hutang negara yang terus meningkat daripada setahun ke
setahun sejak Najib menjadi Perdana Menteri.
Dengan
hutang negara kini melebihi RM700 bilion dan trend kepimpinan Najib
terus giat menambah angkanya, pakar-pakar ekonomi menjangkakan jumlah
hutang negara akan meningkat kepada RM1 trilion menjelang tahun 2020
akan datang.
Pernahkah kita terbayang hutang negara boleh mencecah sehingga RM1 trilion atau RM1,000 bilion banyaknya?
Tidakkah
jika tanpa adanya Najib menjadi Perdana Menteri Malaysia, mungkin ada
antara kita tak kenal pun perkataan "bilion" atau "trilion"?
Begitulah hebatnya Najib!!!

Tiada ulasan:
Catat Ulasan