HALAMAN SANTAI

Sabtu, 3 Februari 2018

Tolak kempen undi rosak, tukar jadi jom undi PH


 
Tolak kempen undi rosak, tukar jadi jom undi PH



Ketua Penerangan Pakatan Harapan (PH) Pahang, Zulkifli Mohamed (gambar atas) menyeru pengundi muda di negara ini agar tidak terpengaruh dengan kempen undi rosak dan membiarkan emosi mereka ditunggangi.

Menurut Zulkifli, beliau meyakini bahawa kempen undi rosak tidak muncul secara organik dalam kalangan pengundi muda yang kecewa, sebaliknya ia merupakan kempen yang strategi, yang dilakukan secara halus oleh sekumpulan individu bagi memenuhi kehendak dan kepentingan diri sendiri.

“Natijahnya, tidak sedikit pengundi muda yang terpengaruh dengan kempen dan dakyah kumpulan tersebut dalam meracuni pemikiran pengundi muda supaya mengikut rentak tari mereka, sekali gus memudahkan cita-cita dan dendam mereka direalisasikan.

“Saya masih meyakini bahawa sebahagian besar undi rosak dilakukan adalah berpunca daripada protes para pengundi terhadap sistem dan institusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang sering dilihat berat sebelah, kerana banyak membantu memenangkan parti pemerintah.

“Dan golongan inilah yang terikut-ikut dengan kempen yang tidak bertanggungjawab ini. Hakikatnya emosi mereka telah dipergunakan bagi memenuhi agenda kumpulan tertentu,” kata Pengarah Komunikasi Parti AMANAH Pahang itu dalam blognya.

Motif sebenar kempen seumpama ini digerakkan tidak dapat dipastikan secara jelas, kata beliau.

“Bagaimanapun kempen ini boleh memberi kesan bukan sahaja kepada satu-satu kawasan pilihan raya, malah turut melibatkan negara.

“Mengundi adalah hak setiap rakyat yang layak. Terpedaya dengan kempen ini, menjadikan suara rakyat tidak kedengaran. Seluruh rakyat Malaysia yang waras tidak perlu melayan kempen yang sia-sia ini.

“Justeru, adalah menjadi tanggungjawab PH untuk meyakinkan para pengundi muda bahawa sekiranya golongan ini menolak kempen yang merosakkan demokrasi ini dan berfikiran waras dengan mengundi PH dalam PRU14 nanti.

Beri kepercayaan kepada PH, untuk kali ini jangan rosakkan undi anda, hanya kerana mengikut emosi atau terpedaya dengan pihak yang kecewa.

“Jom, pakat ramai-ramai kita tolak kempen #UndiRosak kita tukar kepada kempen #JomUndiPH,” kata beliau.

Tiada ulasan: