Oleh Athirah Hanapiah
SHAH ALAM: Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Nik Muhammad Zawawi
Nik Salleh bersedia untuk 'bertanding dan tidak bertanding' pada
Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kali ini.
Katanya, jika dicalonkan bertanding beliau bersedia untuk diletakkan dimana-mana 130 kerusi parlimen yang mahu ditandingi PAS.
Pun begitu Nik Zawawi tidak mengesahkan atau menafikan laporan yang
mengatakan beliau akan diletakkan di kerusi parlimen Pasir Puteh.
"Ya, bertanding tetapi pulang kepada parti, kalau parti kata
bertanding, saya bertanding, kalau parti kata tidak bertanding saya
tidak bertanding.
"Saya seluruh dunia bersedia," katanya sambil berseloroh ketika dihubungi Antarapos hari ini.
Terdahulu, PAS disebut-sebut bakal meletakkan Nik Zawawi sebagai calon
di Pasir Puteh menggantikan Nik Mazian Nik Mohamad yang menang dengan
majoriti 1,888 undi pada PRU lalu.
Nik Mazian memutuskan untuk tidak bertanding pada PRU kali ini, selepas empat penggal bergelar wakil rakyat.
Kerusi parlimen Pasir Puteh telah menjadi milik PAS sejak dari 1999
lagi, ia selepas dua penggal menjadi milik Semangat 46, parti serpihan
yang ditubuhkan pada 1989 oleh Tengku Razaleigh Hamzah.
Pada PRU kali ini, PPBM juga dikatakan bakal meletakkan ketua
penerangan mereka, Datuk Kamaruddin Md Noor, manakala Timbalan Menteri
di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki pula akan
bertanding mewakili parti BN.
Sementara itu, Nik Zawawi memaklumkan Majlis Syura Ulama PAS kini sudah
selesai memuktamadkan senarai nama calon yang akan bertanding dalam PRU
kali ini.
Namun katanya, ia hanya akan diisytiharkan selepas Perdana Menteri
Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pembubaran parlimen nanti.
"Calon-calon sudah diselesaikan, kita hanya belum isytihar sahaja lagi. Bila bubar parlimen kita isytihar (senarai calon).
"Majlis syura memutuskan bahawa calon-calon yang bertanding di seluruh
negara ini adalah cukup, syaratnya cukup dan jumlahnya cukup," ujarnya
lagi.
Terdahulu, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengumumkan
partinya itu bakal bertanding di 130 kerusi parlimen pada PRU14 dengan
sasaran menang sekurang-kurangnya 40 buah kerusi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan