Katanya, orang Islam berdosa jika mereka memilih untuk tidak mengundi atau merosakkan undi mereka kerana tindakan itu akan memberikan “memberi peluang kepada pihak lain menguasai negara melalui pilihan raya”.
“Kalangan umat Islam yang memulau pilihan raya atau merosak undi adalah menyerah kalah sehingga penentuan kuasa politik diserahkan kepada bukan Islam yang menjadi salah satu dosa paling besar. Perkara inilah yang sangat dikehendaki oleh musuh Islam di dalam negara atau di luar negara.
“Maka kalangan yang melaksanakan kempen memulau pilihan raya sama ada kerana bodoh dan jahilnya atau kesediaannya menjadi alat bagi memberi laluan mudah kepada musuh Islam dan musuh negara,” kata Hadi dalam satu kenyataan hari ini.
Awal minggu ini, pemimpin parti Islam itu mengkritik kempen undi rosak menyifatkannya sebagai bertentangan dengan ajaran Islam.
"Ini satu kempen yang tidak bertanggungjawab terhadap negara dan agama kerana Islam meletakkan politik sebahagian daripada agama,” katanya seperti dipetik akhbar Utusan Malaysia.
Hari ini pula, beliau mengatakan orang Islam yang memboikot atau merosakkan undi mereka tidak melaksanakan tanggungjawab mengikut ajaran agama kerana tugas mereka adalah “demi menegakkan Islam dalam pemerintahan negara.”
“Memulau pilihan raya juga mendedahkan kepada pilihan yang merosakkan negara dan rakyat, sama ada secara bersendiri atau mengundang campur tangan asing yang menjajah semula,” katanya.
Kempen #UndiRosak yang bermula di media sosial mencetuskan perdebatan hangat dan mengundang kritikan pemimpin kerajaan dan pembangkang.
Dalang kempen itu menggesa pemilih supaya tidak mengundi atau merosakkan undi mereka atas alasan tidak wujud pilihan atau kualiti calon pilihan raya yang tidak memuaskan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan