PUTRAJAYA: Polis masih menunggu laporan forensik mengenai rakaman
kamera litar tertutup (CCTV) sekolah di Nibong Tebal, Pulau Pinang bagi
mengenal pasti individu yang mencuri telefon bimbit seorang guru.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk A Thaiveegan berkata berdasarkan
siasatan awal, pihaknya tidak dapat mengesahkan sama ada imej individu
di dalam CCTV itu adalah pelajar tingkatan 2 yang meninggal dunia
selepas cuba membunuh diri tempoh hari, berikutan kualiti visual
tersebut.
“Setakat ini saya tidak boleh mengesahkan…visual itu sangat sukar untuk disahkan.
“Kami memerlukan kepakaran forensik untuk meningkatkan kualiti gambar
atau visual dan sehingga itu, kita perlu menunggu,” katanya pada majlis
perasmian Seminar Permuafakatan Pembangunan Nilai dan Sahsiah Murid,
hari ini.
Beliau mengulas laporan akhbar yang memetik sumber polis sebagai
mengesahkan rakaman CCTV sekolah yang diperolehi menunjukkan gadis
berusia 13 tahun yang cuba membunuh diri itu mengambil telefon bimbit
milik gurunya.
Pelajar itu meninggal dunia pada 1 Februari lalu, selepas 7 hari koma
daripada menggantung diri di dalam bilik di rumahnya akibat dituduh
mencuri telefon bimbit gurunya pada 24 Januari lepas.
Thaiveegan yang dilaporkan sebuah agensi portal berkata, laporan sedemikian boleh menjejaskan siasatan yang sedang dijalankan.
Ditanya bila CCTV itu diberikan kepada pihak forensik, beliau berkata,
rakaman tersebut diserahkan sejurus pihaknya memulakan siasatan.
Ditanya bila kertas siasatan kes itu akan diserahkan kepada Jabatan
Peguam Negara selepas 3 kertas siasatan terdahulu dipulangkan,
Thaiveegan berkata, ia bergantung kepada secepat mana laporan forensik
CCTV tersebut diperoleh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan