HALAMAN SANTAI

Isnin, 12 Februari 2018

Pelajar dituduh curi telefon pernah kelar tangan, kata laporan

THE MALAYSIAN INSIGHT

Pelajar dituduh curi telefon pernah kelar tangan, kata laporan
Vasanthapiriya meninggal dunia dalam koma selepas cuba membunuh diri kerana dituduh mencuri telefon bimbit gurunya, kes itu mencetuskan kemarahan seluruh negara yang mempersoalkan tindakan guru terbabit. – Gambar fail The Malaysian Insight
 
PELAJAR tingkatan dua, M. Vasanthapiriya yang meninggal dunia selepas cubaan bunuh diri berkaitan tuduhan mencuri telefon bimbit gurunya mempunyai rekod mencederakan dirinya, lapor akhbar The Sun Daily.

Menurut akhbar itu, wujud laporan kaunselor yang meminta keluarga Vasanthapiriya mendapatkan bantuan perubatan bagi menangani masalah itu.

Laporan itu mempunyai tandatangan seorang ahli keluarganya dan dua guru, kata laporan itu lagi.

Timbalan Menteri Pendidikan P. Kamalanathan mengesahkan kewujudan laporan itu mengatakan keluarga mangsa tidak mendapatkan rawatan seperti mana dicadang, beliau turut menambah yang laporan kaunselor itu sudah dihantar kepada polis untuk membantu siasatan.

“Ya, pada 2016, dia kerat pergelangan tangannya,” katanya seperti dipetik The Sun Daily.
Bagaimanapun, beliau mengesahkan tidak melihat laporan itu.

Vasanthapiriya meninggal dunia dalam koma selepas cuba membunuh diri kerana dituduh mencuri telefon bimbit gurunya, kes itu mencetuskan kemarahan seluruh negara yang mempersoalkan tindakan guru terbabit.

Ditanya sekiranya guru terlibat akan dipindahkan sekolah kerana menerima ugutan, Kamalanathan mengatakan: “Saya fikir kami perlu tunggu laporan akhir polis kerana siasatan mereka lebih menyeluruh dan melebihi siasatan sekolah.

“Berdasarkan itu (laporan polis), barulah kami boleh mengambil tindakan lanjut.”

Bapa Vasanthapiriya, R. Muniandy bagaimanapun menafikan dakwaan anak perempuannya pernah cuba membunuh diri sebelum ini.

“Anak saya adalah kanak-kanak biasa dan selaku ibu bapanya mesti saya tahu jika dia ada masalah kesihatan mental,” katanya.

Tiada ulasan: