PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi
melahirkan rasa keyakinannya bahawa pembangkang akan menyebar berita
palsu menjelang pilihan raya umum ke-14 yang akan diadakan pada
bila-bila masa.
Sehubungan itu katanya, wujud kebimbangan pembangkang apabila menolak
usaha kerajaan mengenai penggubalan undang-undang baru bagi mengekang
penularan berita palsu.
Beliau juga turut membidas Pakatan Harapan (PH), bahawa penggubalan itu tidak sama sekali untuk menutup sebarang kebenaran.
“Apakah kebenaran (sebenarnya bagi Pakatan Harapan)? Apakah ‘kebenaran’
seperti diperkatakan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 melibatkan dakwaan
400,000 warga Bangladesh dibawa ke negara ini? Apakah itu bukan berita
palsu?
“Adakah itu ‘kebenaran’ yang akan dibawa sekali lagi oleh mereka? Akan
ada berita-berita palsu pada saat-saat akhir pada strategi kempen...
Saya sangat pasti,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan
Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini hari
ini.
Beliau mengulas kenyataan Pengerusi PH, Tun Dr. Mahathir Mohamad
baru-baru ini yang ‘khuatir’ tentang cadangan undang-undang terhadap
berita palsu, mengatakan ia undang-undang ‘baik’ tetapi tidak boleh
digunakan untuk menutup kebenaran.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata,
kerajaan telah meminta pihak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) untuk
mempertingkatkan siasatan dan memenuhi aduan-aduan terhadap isu
Perhimpunan Agung PPBM.
Katanya, langkah itu kerana kebolehpercayaan terhadap RoS adalah cukup
tinggi kerana sifat ketelusan jabatan itu selama ini dalam melakukan
siasatan terhadap pertubuhan-pertubuhan dan badan-badan politik yang
menerima aduan dari ahli-ahli mereka sendiri.
Ditanya adakah siasatan tersebut boleh dilakukan dalam tempoh dua
minggu ekoran gesaan ahli-ahli PPBM semalam, Ahmad Zahid berkata,
perkara itu diserahkan kepada ROS kerana sebagai menteri, beliau tidak
terlibat dalam aktiviti pengoperasian jabatan berkenaan.
Berhubung perhimpunan yang akan diadakan oleh kira-kira 1,000 ahli-ahli
PPBM di ibu pejabat ROS di sini sebagai tanda protes, beliau berkata,
perkara itu bergantung kepada ahli-ahli parti tersebut tetapi pihak
polis akan hadir untuk memantau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan