PORT DICKSON: Mahkamah Majistret di sini, hari ini membenarkan tempoh
reman sepasang suami isteri dilanjutkan tujuh hari lagi, bermula hari
ini bagi membantu siasatan berhubung kes kematian anak perempuannya,
dipercayai akibat didera.
Majistret Siti Khariah Abdul Razak membenarkan perintah sambung reman
terhadap pasangan suami isteri itu, yang juga bapa kandung dan ibu tiri
kepada mangsa berusia 9 tahun itu, selepas permohonan dikemukakan
pembantu pegawai penyiasat, Inspektor Muhammad Firdaus Abd Razak setelah
tempoh reman sejak 2 Februari lalu berakhir hari ini.
Terdahulu, pasangan suami isteri yang berusia 35 dan 34 tahun itu, tiba
di perkarangan mahkamah jam 9.25 pagi tadi dengan memakai baju lokap
jingga dan tangan bergari diiringi anggota polis.
Khamis lalu, seorang kanak-kanak perempuan dilaporkan meninggal dunia
ketika dalam perjalanan mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Jaafar
Seremban (HTJS) selepas tidak sedarkan diri di rumah keluarganya di
Lukut.
Mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh bapanya.
Pemeriksaan ke atas badan kanak-kanak itu mendapati terdapat kesan
lebam dan bedah siasat mendapati mangsa mengalami kecederaan parah pada
organ dalaman seperti cedera buah pinggang, usus koyak serta tulang
rusuk kiri dan kanan patah dipercayai dipukul dengan objek tumpul.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan