Oleh Ainor Rahim
SHAH ALAM: Semua pihak perlu melihat secara rasional berhubung isu
kunjungan diplomat Israel ke Malaysia, yang menimbulkan kecaman pelbagai
pihak, khususnya pembangkang.
Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis
Profesor Negara (MPN), Profesor Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata,
kehadiran diplomat negara itu tempoh hari, adalah atas kapasiti tugas
dan jemputan Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu
(PBB) atau UN-Habitat.
Justeru katanya, tidak masuk akal mengatakan bahawa Malaysia mahu
menjalin hubungan baik dengan negara Yahudi itu menerusi undangan
berkenaan.
"Adalah tidak masuk akal kalau kita nak buat apa-apa rundingan secara
terbuka dalam negara dengan pihak Israel sehingga diketahui umum. Ini
adalah satu dakwaan yang tidak masuk akal.
"Sebab itu kita kena rasional dalam melihat situasi ini. Pegawai Israel
itu datang melalui tiket United Nations (PBB) melalui satu program UN
disini. Mereka masuk dengan menggunakan visa UN itu. Atas dasar itu
mereka datang dan menjalankan tugas dan tanggungjawab dia dalam konteks
peranan dia dalam konteks PPB," katanya ketika dihubungi Antarapos hari
ini.
Menyifatkan dakwaan berkenaan bersifat politik, Mustafa berpandangan ia
juga dilihat sebagai satu bentuk eksploitasi bagi mewujudkan gambaran
negatif kepada kerajaan.
"Ini adalah satu dakwaan yang bersifat politik kerana kita tahu pilihan
raya pun tidak lama lagi. Tentunya ramai pihak berminat eksploitasi
begini bagi memberikan gambaran yang tidak baik terhadap pihak
kerajaan," ujarnya.
Jelasnya, kerajaan Malaysia pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak tidak
akan sebegitu naif untuk menjalankan apa-apa juga rundingan atau
perbincangan serius dengan pihak Israel.
"Kita (Malaysia) sampai hari ini tidak pernah mengiktiraf Israel
sebagai sebuah negara dan tidak ada hubungan diplomatik dengan mereka.
Dengan sebab itu tidak ada sebarang hubungan rasmi antara kita dengan
pihak Israel. Dakwaan ini boleh dipatahkan dengan begitu mudah,"
tambahya.
Sebelum ini, beberapa pihak terdiri daripada wakil parti politik dan
pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tampil menyatakan rasa kecewa dan
mengecam tindakan kerajaan yang membenarkan kemasukan diplomat Israel ke
negara ini bagi mengikuti forum tersebut.
Diplomat Israel, David Roet turut mendakwa penyertaan delegasi dari
negara itu ke Forum Bandar Sedunia ke-9 (WUF9) tersebut mendapat
kebenaran Malaysia selepas menerima tekanan diplomatik sehingga ke
pejabat Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam reaksinya
mempersoalkan mengapa Wisma Putra membenarkan kemasukan diplomat Israel
terbabit.
Menurut beliau lagi, hal ini memperlihatkan kerajaan bersikap seperti
talam dua muka dalam membela nasib umat Islam di Palestin.
WUF merupakan forum teknikal bukan perundangan yang dianjurkan setiap
dua tahun bertujuan bertukar-tukar pandangan dan pengalaman mengenai
cabaran perbandaran.
Difahamkan WUF dihadiri wakil 185 buah negara. Selaku tuan rumah, Malaysia disyaratkan meluluskan visa semua perwakilan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan