KUALA LUMPUR: Cuaca sejuk yang dialami di beberapa kawasan di
Semenanjung Malaysia merupakan fenomena sementara tetapi keadaan itu
boleh berulang sekiranya angin sejuk monsun timur laut dari Siberia,
China melalui Semenanjung Malaysia.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) Alui Bahari
berkata cuaca sejuk dan kabus tebal di negeri-negeri pantai timur,
pedalaman Kedah dan utara Perak telah kembali normal sejak 12 Feb dengan
bacaan suhu minimum harian di stesen-stesen Meteorologi mencatatkan
suhu 20 darjah celsius ke atas.
Katanya cuaca sejuk ini mungkin boleh berulang pada bulan Februari
tahun depan sekiranya berlaku pergerakan tiupan angin sejuk monsun timur
laut dari China dan langit tidak berawan pada waktu malam.
"Secara klimatologi, bulan Februari merupakan tempoh suhu minimum
harian yang terendah berbanding bulan-bulan lain di negeri-negeri pantai
timur, pedalaman Kedah dan utara Perak,” katanya dipetik sebuah agensi
berita di Kuala Lumpur, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan media baru-baru ini
bahawa Kuala Krai pada 11 Feb lepas telah mengalami cuaca luar biasa
dengan mencatatkan suhu suhu terendah iaitu 18.4 darjah Celsius.
Alui berkata cuaca sejuk yang berlaku dari 9 hingga hingga 11 Feb di
Kelantan itu, turut dirasai di Terengganu dan Pahang selain kawasan
pedalaman Kedah dan utara Perak.
Sementara itu, Alui berkata MET Malaysia dari semasa ke semasa
mengeluarkan amaran sekiranya berlakunya kabus tebal akibat cuaca sejuk
dan laut bergelora yang menyebabkan tidak selamat untuk aktiviti
pergerakan pengangkutan di laut dan udara.
"Maklumat mengenainya akan disalurkan kepada orang ramai dan pihak yang
berkaitan antaranya Jabatan Penerbangan Awam, Jabatan Perikanan
Malaysia, Jabatan Laut Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim
Malaysia,” katanya.
Ditanya mengenai kemungkinan berulangnya Taufan Tembin yang melanda
Filipina pada Disember tahun lepas dan kesannya kepada Sabah, Alui
berkata pada ketika ini terdapat satu siklon tropika iaitu Ribut Tropika
Sanba di tenggara Filipina.
Justeru itu, MET Malaysia akan mengeluarkan amaran cuaca dari semasa ke
semasa untuk negeri Sabah sekiranya hujan lebat dan angin kencang
diramalkan berlaku di negeri tersebut, katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan