AMPANG: Selepas isterinya didakwa bersubahat dengannya berhubung
dakwaan mencabul dua kanak-kanak perempuan di pusat kebajikan, hari ini
suami pula dihadapkan di mahkamah di Ampang terhadap sembilan pertuduhan
antaranya merogol dan mencabul kanak-kanak di pusat itu serta
memiliki objek lucah.
Tertuduh, Zahari Alwi, 56, yang merupakan pengasas pusat itu mengaku
tidak bersalah di tiga mahkamah berasingan atas dua pertuduhan merogol;
tiga pertuduhan mencabul; satu pertuduhan mengaibkan kehormatan dan tiga
pertuduhan memiliki bahan lucah termasuk zakar palsu.
Kesemua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim
Mahkamah Sesyen Mohamad Kamil Nizam, Majistret Mohamad Firdaus Sadina
Ali dan Majistret Haslinda A.Raof.
Di hadapan Hakim Mohamad Kamil, lelaki itu yang memakai baju lokap
berwarna oren dan menutup mukanya dengan topeng muka didakwa atas dua
pertuduhan merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun di
dalam bilik tidur di dua buah pusat kebajikan di Keramat di sini antara
2016 dan Ogos 2017.
Dia dituduh mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama
Seksyen 16 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017
yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan hendaklah juga
dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.
Di hadapan Majistret Mohamad Firdaus, tertuduh didakwa atas tiga
pertuduhan melakukan kekerasan jenayah terhadap mangsa sama dan seorang
lagi kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun dengan maksud mencabul
kehormatan mereka di ruang tamu di dua premis sama, antara Disember 2015
dan 2016.
Ketiga-tiga pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan
yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat
atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.
Lelaki itu turut menghadapi pertuduhan memiliki filem lucah yang
bertentangan dengan kesopanan awam di dalam bilik di premis sama, pada 7
malam, 10 Jan 2018 mengikut Seksyen 5(1) Akta Penapisan Filem 2002 yang
memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga
lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Di hadapan Majistret Haslinda pula, tertuduh didakwa dengan maksud
hendak mengaibkan kehormatan mangsa yang berusia 11 tahun dengan cara
membuka pintu bilik air di pusat kebajikan sama pada 1 tengah hari,
Disember 2015.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa
hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya,
jika sabit kesalahan.
Zahari dituduh atas dua pertuduhan iaitu membuat dan memiliki gambar
lucah pegun mangsa sama di dalam komputer riba dan memiliki objek lucah
berupa zakar lelaki, masing-masing pada 1 tengah hari, Disember 2015 dan
7 malam 10 Jan lepas di dua buah premis sama.
Pertuduhan mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman
penjara maksimum tiga tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika
sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Nadiah Malek Fauzie, Norhashimah Hashim dan
Raihanah Abdul Razak tidak menawarkan sebarang jaminan dengan alasan
tertuduh sedang menjalani hukuman penjara di bawah akta
kesalahan-kesalahan seksual terhadap kanak-kanak.
Peguam Illynadiah Mohd Yusof yang mewakili tertuduh tidak mengemukakan
sebarang bantahan dan mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin
dan menetapkan 21 Mac untuk sebutan semula semua kes.
Pada 29 Jan lepas, isteri tertuduh Khairulbariah Mian, 29, mengaku
tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas tiga pertuduhan bersubahat
dengan tertuduh berhubung dakwaan mencabul dua kanak-kanak perempuan di
dua buah premis sama, tiga tahun lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan