SHAH ALAM: Hasrat Pakatan Harapan mahu menjemput badan bebas asing
memantau perjalanan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dianggap satu
cubaan tidak bertanggungjawab yang mencemarkan kedaulatan serta sistem
demokrasi negara ini.
Ahli Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi berkata, sistem
demokrasi serta perjalanan pilihan raya yang diamalkan di negara ini
sebenarnya sudah cukup baik dan telus selain menyaksikan parti-parti
pembangkang sendiri berjaya menguasai beberapa buah negeri seperti di
Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor.
“Justeru, apakah desakan yang dibuat mereka (Pakatan Harapan) ini
secara tidak langsung menyatakan kemenangan mereka di negeri-negeri
terbabit tidak sah?.
“Sesungguhnya perjalanan pilihan raya di Malaysia dilaksanakan secara
telus memandangkan kesemua calon bertanding dibenarkan melantik ejen
mewakili mereka di setiap pusat dan saluran pengundian sepanjang tempoh
mengundi dan kiraan undi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari
ini.
Pada masa sama, Budiman yang juga ADUN Sungai Panjang itu yakin bahawa
hasrat serta tuntutan PH untuk menjemput badan bebas asing itu sebagai
satu taktik bagi mencetuskan persepsi buruk terhadap perjalanan pilihan
raya di negara ini.
Katanya, rakyat Malaysia tidak mungkin lupa tindakan pihak pembangkang
pada pilihan raya umum lalu menyebarkan fitnah kononnya 40,000 pengundi
Bangladesh dibawa masuk ke negara ini.
“Sesungguhnya permainan persepsi dan fitnah adalah suatu lumrah dan makanan harian pihak pembangkang,” tegasnya.
Semalam, Timbalan Presiden PH, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilapor
mendesak kerajaan mengundang pasukan pemantau pilihan raya bebas
daripada Sekretariat Komanwel dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)
untuk memantau perjalanan PRU-14.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan