Oleh Shuhaniza Said
TEMERLOH: Baru beberapa hari outlet pertama Kedai Rakyat 1Malaysia
(KR1M) 2.0 dilancarkan di Tunas Manja Group (TMG) Mall di sini, sambutan
yang diterima daripada penduduk setempat sangat menggalakkan.
Menerusi tinjauan Antarapos, TMG Mall yang terletak di tepi jalan besar
Mentakab-Temerloh ini menjadi pilihan penduduk setempat untuk
mendapatkan barangan keperluan asas pada harga yang lebih rendah.
"Kalau banding dengan sebelum kita (TMG) menjadi (rakan kongsi) KR1M
ini, jualan memang meningkat. Penduduk Temerloh sangat suka membeli
barang-barang KR1M.
"Sambutan sangat baik, jualan kita juga sudah meningkat 100
peratus..boleh dikatakan jualan kita sekali ganda. Penduduk sekitar
menerima baik, dan kita jual barang-barang KR1M dengan harga yang lebih
murah sekaligus dapat membantu rakyat sekitar," katanya.
KR1M 2.0 yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada
Ahad lalu adalah penjenamaan semula daripada program KR1M yang
diperkenalkan melalui inisiatif pihak swasta yang dibantu kerajaan sejak
tahun 2011.
KRIM 2.0 melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan
Kepenggunaan (KPDNKK) memperkenalkan model baru yang lebih terbuka,
berdaya saing dan memberi peluang kepada lebih ramai pemilik perniagaan
runcit untuk menyertainya.
Sebanyak 50 jenis barangan keperluan harian berjenama dijual lebih
murah berbanding harga pasaran, merupakan antara ciri pembaharuan yang
dibawa menerusi inisiatif ini.
Seorang pekerja swasta, Zabidi Jamsari, 48, berkata dengan penjenamaan
semula KR1M 2.0, sudah semestinya ia menjadi tumpuan rakyat terutama
daripada golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang mahu
mengimbangi perbelanjaan bulanan mereka.
"Dengan pelancaran KR1M ini, saya lihat ada perbezaan harga kalau nak
dibandingkan...kalau boleh kita nak cari harga yang lebih rendah,
faham-fahamlah ekonomi sekarang. Kalau anak ramai, mesti mahu cari
barangan yang harganya rendah.
Malah menurutnya, dengan penambahbaikan kerajaan daripada inisiatif
asal KR1M, maka KR1M 2.0 sewajarnya diperluaskan kepada lebih banyak
outlet pasaraya yang menjadi rakan kongsi.
"Kalau boleh diperluaskan ke setiap daerah ada satu KR1M untuk
memudahkan pembeli buat perbandingan, secara tak langsung memberi satu
persaingan yang sihat kepada pasaraya lain demi bantu golongan rendah
dan sederhana," katanya lagi.
Cadangan yang sama turut diutarakan seorang suri rumah, Jamiah Hasan.
"Saya rasa okay, tengok harga barang pun lebih murah. Kalau boleh,
perluaskan ke kawasan lain, saya tak pasti Jerantut ada ke tidak sebab
di sana ada juga Tunas Manja tapi tak pasti ia termasuk sebagai KR1M
atau tidak. Kalau boleh banyakkan lagi cawangan di Pahang," kata suri
rumah berusia 45 tahun itu.
Bagi seorang pekerja swasta, Nazirah Mohd Alwi, 28, dirinya berharap
agar pelaksanaan KR1M 2.0 akan turut menyenaraikan barangan keperluan
bayi khususnya lampin pakai buang
yang sememangnya diketahui harganya menuntut perbelanjaan lebih tinggi.
"Jika lihat di pasaran, harga lampin pakai buang memang sangat tinggi,
kalau boleh dengan adanya inisiatif KR1M ini dapat membekalkan harga
lampin pakai buang dengan lebih rendah.
"Zaman sekarang kebanyakan orang sudah tak pakai lampin, jadi ia antara
barang utama kalau untuk seorang ibu, memang dia fikir lampin pakai
buang, selain daripada susu," ujar ibu muda itu lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan