HALAMAN SANTAI
Ahad, 18 Februari 2018
Persatuan: Hanya kewangan majikan amah disaring, tak sentuh mental
PETALING JAYA: Persatuan Majikan Amah Malaysia (Mama) berkata hanya kemampuan kewangan majikan disaring dalam proses pengambilan pembantu rumah.
Presiden Engku Ahmad Fauzi Engku Muhsein berkata proses itu tidak melihat rekod masalah mental majikan atau rekod jenayah.
“Saringan cuma satu: sama ada majikan itu disenarai hitam. Kita tidak lihat sama ada majikan ada rekod jenayah atau rekod masalah mental, cuma dilihat jumlah gaji sama ada mampu bayar atau tidak,” katanya kepada FMT.
Beliau dihubungi FMT selepas Jakarta dilaporkan sekali lagi merancang untuk membekukan penghantaran pembantu rumah ke Malaysia susulan kematian Adelina Lisao, 26, yang dipercayai didera di rumah majikannya.
Indonesia pernah membekukan penghantaran pekerja sektor tidak formal ke Malaysia pada 2009 berikutan beberapa kes penderaan rakyatnya yang bekerja sebagai pembantu rumah oleh majikan tempatan. Moratorium ditarik balik pada 2011.
Menurut Engku Ahmad, proses saringan pembantu rumah pula hanya melihat aspek kesihatan dan cara melakukan kerja.
Beliau menambah terdapat permintaan yang tinggi untuk pembantu rumah Indonesia memandangkan persamaan rapat dari sudut budaya dan lokasi, diikuti Filipina dan Thailand.
Engku Ahmad berkata tragedi yang menimpa Adelina tidak menggambarkan sikap keseluruhan majikan tempatan.
“Kenapa fokus yang seorang ini sedangkan banyak lagi pembantu rumah tidak mahu balik? Sudah balik mahu datang semula ke Malaysia,” katanya.
Adelina meninggal dunia pada 11 Februari lepas, sehari selepas diselamatkan oleh kumpulan perlindungan pekerja asing. Dilaporkan kepala dan wajah mangsa bengkak dan mengalami kecederaan pada tangan dan kaki.
Pada 2014, satu pasangan dihukum gantung kerana menyebabkan orang gaji mereka kebuluran sehingga mati.
Isu kebajikan para pembantu rumah antara isu yang sering berbangkit dalam hubungan Indonesia-Malaysia.
FMT pernah melaporkan Pertubuhan Kebangsaan Agensi Pekerjaan Malaysia dan Asosiasi Perusahaan Jasa Tenaga Kerja Indonesia tahun lepas bimbang dasar membenarkan pengambilan pembantu rumah tanpa ejen akan meningkatkan aktiviti pemerdagangan manusia dan tidak menjamin keselamatan pembantu rumah.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan