HALAMAN SANTAI

Ahad, 18 Februari 2018

Tarian singa tak lut masalah ekonomi negara




tarian-singa


PETALING JAYA: Perniagaan persembahan dan pembikinan tarian singa boleh dikatakan tidak terkesan dengan masalah ekonomi negara kerana peranan unik singa itu mengikut kepercayaan masyarakat Cina.

Pembuat kostum tarian singa, Siow Ho Phiew, 63, menjelaskan permintaan tidak terjejas kerana penari singa akan dipanggil untuk membawa tuah atau “ong” kepada perniagaan terutama ketika keadaan ekonomi kurang baik.

“Ekonomi tidak ada kena dengan kita sebab tarian singa ini berbeza. Hendak katakan budaya semata-mata juga tidak boleh,” katanya ketika ditemui FMT di bengkelnya yang terletak di Subang.

“Tarian singa ertinya membawa tuah. Walaupun perniagaan merudum, ekonomi tidak bagus, panggil kumpulan tarian singa untuk buat perniagaan bertambah baik. Disebabkan itu, ekonomi bagus atau tidak, ia tidak beri kesan.

“Itulah yang istimewa mengenai tarian singa ini,” katanya kepada FMT.

Tarian tradisional masyarakat Cina ini sentiasa dinanti-nantikan dalam acara-acara perniagaan orang Cina. Sama ada percaya pada tuah sang singa atau tidak, paluan gendang yang rancak, dentuman mercun dan aksi akrobatik penarinya tidak pernah gagal memukau penonton.

Siow berkata tarian singa dipanggil untuk bermacam jenis acara sepanjang tahun mengikut permintaan.

“Bila-bila juga ada tarian singa, satu tahun 12 bulan, sebulan ada 4 minggu, setiap minggu ada permintaan untuk tarian singa.

“Di Malaysia semua bangsa minat tarian singa. Tarian singa bukan tarian agama,” katanya.

Tak mimpi jadi pembuat kostum

Siow yang menceburi seni unik itu sejak 1986 sebenarnya tidak pernah termimpi akan menjalankan perniagaan pembuatan kostum tarian singa sebagai kerjaya tetap.

Pada awalnya beliau sekadar melakukannya secara suka-suka lantaran minatnya menarikan tarian singa.

“Mula-mula saya buat kepala singa pada 1986, sehingga kini sudah 32 tahun. Saya buat kepala singa tidak ada cikgu yang ajar, sebabnya saya waktu muda-muda suka dengan tarian singa.

“Pada waktu dulu susah beli kepala singa, sebab itu saya buat sendiri dan saya sendiri yang main. Apabila kawan saya lihat, dia kata cantik dan minta saya buatkan.

“Saya buat untuk satu atau dua kepala singa, kemudian saya lihat banyak yang cari saya, seterusnya saya jadikan ia sebagai perniagaan,” katanya.

Menurut Siow, proses pembikinan 1 kepala singa mengambil masa sehingga 8 hari bergantung pada corak dan hiasan yang pelanggan mahukan.

“Semua lukisan yang ada di kepala singa itu dibuat menggunakan lukisan tangan,” katanya, dan menambah usaha beliau ini turut mendapat pengiktirafan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia.

“Semua corak yang ada datangnya dari pandangan rakan-rakan dan kakitangan sendiri.”

LIHAT VIDEO DI SINI

Tiada ulasan: