ANTARAPOS
GEORGE TOWN: Kehadiran PAS bertanding di Pulau Pinang pada pilihan raya
umum ke-14 (PRU14) akan memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN),
kata Timbalan Presiden Pakatan Harapan Lim Guan Eng.
Lim yang juga Setiausaha Agung DAP berkata bagaimanapun PAS berhak
bertanding di mana-mana kerusi dalam sistem demokrasi termasuk di
kawasan Parlimen Permatang Pauh dan kerusi DUN Air Putih.
"Ini adalah satu cabaran sekiranya PAS bertanding kerana semua lihat
PAS sebagai membantu Barisan Nasional (BN) namun segalanya akan
bergantung kepada rakyat," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Beliau berkata kehadiran PAS itu akan memberi kelebihan kepada BN untuk
menang dan sudah tentu Gerakan, MCA dan Umno akan rasa gembira dengan
perkara itu.
Lim berkata demikian sebagai mengulas hasrat PAS untuk meletakkan calon
di Parlimen Permatang Pauh seperti yang diumumkan Presidennya Datuk
Seri Abdul Hadi Awang pada ceramah parti itu di Permatang Pauh baru-baru
ini.
Menurut Abdul Hadi, kerusi parlimen itu pernah dimiliki PAS pada pilihan raya umum 1978 menerusi wakilnya Zabidi Ali.
Kerusi Parlimen Permatang Pauh kini disandang Presiden PKR Datuk Seri
Dr Wan Azizah Wan Ismail yang memenanginya menerusi pilihan raya kecil
pada Mei 2015 selepas penyandangnya Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar
Ibrahim hilang kelayakan sebagai anggota parlimen.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan