HALAMAN SANTAI

Isnin, 19 Februari 2018

Umno tidak pernah bincang isu RCI Memali - Ahli MT

Oleh Athirah Hanapiah
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Cadangan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Di-Raja (RCI) bagi menyiasat  isu Memali tidak pernah dibincang dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno, kata Datuk Sohaimi Shahadan.
 
Ahli MT Umno itu berkata pihaknya menerima pelbagai pandangan serta saranan berhubung isu berkenaan namun buat masa ini ia belum disenaraikan untuk dibincang secara rasmi dalam mesyuarat parti. 
 
"Setakat ini kita tidak pernah berbincang, tetapi kita menerima banyak pandangan daripada pelbagai pihak yang mahu supaya RCI ditubuhkan, susulan daripada RCI untuk menyiasat kerugian Forex tempoh hari," katanya ketika dihubungi Antarapos.
 
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam wawancaranya bersama Mingguan Malaysia semalam terus menggesa agar RCI Memali segera ditubuhkan bagi merungkai kebenaran dalam peristiwa Memali.
 
Ahli Parlimen Marang itu berharap kerajaan di bawah Barisan Nasional (BN) hari ini segera menyiasat insiden berdarah itu.
 
Malah, Hadi yang dituduh sesetengah pihak menjadi punca kepada kejadian tersebut turut bersedia untuk memberi keterangan sekiranya kes itu disiasat semula.
 
Mengulas lanjut, Sohaimi secara peribadi melihat penubuhan RCI sebagai sesuatu yang positif selain dapat membersihkan nama mereka yang terpalit dengan isu tersebut.
 
"Kerajaan ada hak untuk sesuatu isu itu yang difikirkan perlu untuk ditubuhkan RCI untuk lebih telus dan jelas.
 
"Kalau ada keperluan untuk dibuka kembali bagi sesuatu tujuan khusus dan dibentuk RCI ini dan boleh menghilangkan segala keraguan kita, maka RCI ini mungkin perlu (ditubuhkan)," ujarnya lagi.
 
Antarapos sebelum ini melaporkan mangsa dan ahli keluarga insiden Memali selama ini menantikan siasatan secara telus berhubung isu itu sekali gus membersihkan nama serta maruah mereka.
 
Peristiwa Memali tercetus pada November 1985 iaitu ketika era pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad, ekoran tindakan pihak keselamatan mahu menahan guru agama, Ibrahim Mahmud atau Ibrahim Libya atas dakwaan mengancam keselamatan negara.
 
Insiden itu mengorbankan 18 orang termasuk Ibrahim dan empat anggota polis, dan menyaksikan penahan lebih beratus orang.
 
 

Tiada ulasan: