DETIK DAILY
Oleh Saodah Abd. Rahman
DUNIA yang serba canggih dengan teknologi komunikasi menyebabkan
kehidupan manusia semakin mudah dan selesa. Kemajuan dalam aspek ini
sepatutnya digunakan untuk faedah diri sendiri dan masyarakat. Pelbagai
ilmu pengetahuan, informasi dan berita sama ada dalam atau luar negara
mudah diperoleh masa kini. Persoalannya, sejauh manakah umat Islam
menggunakan kemudahan ini untuk membangunkan diri sendiri, masyarakat
dan negara?
Pengguna internet sepatutnya berhati-hati ketika ingin menyebarkan
sebarang berita yang belum pasti kebenarannya. Propaganda dalam pelbagai
aspek mudah disebarkan melalui laman sosial seperti Facebook,
Instagram, Twitter dan WhatsApp. Dalam jangka masa singkat propaganda
tersebut pantas tersebar di seluruh dunia tanpa penapisan. Ini adalah
fenomena kehidupan manusia dalam era kemajuan teknologi komunikasi
ketika ini.
Baik atau buruk sesuatu berita itu bergantung kepada niat dan objektif
individu yang menyebarkan berita tersebut. Umat Islam sepatutnya
berhati-hati apabila mendapat sebarang informasi yang kurang pasti
kebenarannya supaya mereka tidak terlibat dalam perbuatan fitnah.
Setiap maklumat atau berita yang diterima perlu berdasarkan kepada fakta
dan bukti yang kukuh sebelum menentukannya benar atau salah. Umat Islam
masa kini berada dalam ambang fitnah memfitnah sehingga berlaku
perpecahan masyarakat yang boleh mengundang kepada kemusnahan.
Pergolakan parti politik yang diterajui oleh umat Islam semakin hari
kian ketara menonjolkan kelemahan sesama sendiri sehingga masyarakat
sukar untuk menentukan kehebatan kepimpinan parti-parti politik umat
Islam.
Pemimpin parti politik sepatutnya menumpukan perhatian kepada perkara
berkaitan hal ehwal kenegaraan dan pentadbiran secara berhemah bukan
mengutuk, mengherdik dan menghina sesama sendiri dengan tujuan
menjatuhkan maruah dan seumpamanya. Sikap memperkecilkan kebolehan,
kepakaran dan jasa pemimpin parti berlawanan tidak sepatutnya dizahirkan
dalam bentuk serangan peribadi.
Kematangan dan kewibawaan pemimpin politik boleh dinilai secara mudah
oleh masyarakat masa kini melalui ucapan dan tindak tanduk mereka.
Perkara berkaitan politik sukar untuk menentukan parti politik manakah
yang akan menang atau kalah dalam pilihan raya umum kerana setiap
individu yang bertanding akan dipilih oleh rakyat. Jika ucapan dan
tingkah laku pemimpin parti politik boleh menyebabkan rakyat bosan dan
benci, maka nasib mereka untuk menjadi pemimpin rakyat akan berkubur
dalam pilihan raya umum nanti. Apabila rakyat berdiam diri dan tidak
bertindak bukan bererti mereka tidak mempedulikan pergolakan parti
politik.
Kemarahan dan kebencian secara mendiamkan diri boleh diibaratkan
sebagai ‘api di dalam sekam’. Masyarakat yang berada dalam negara
membangun seperti Malaysia tidak gemar untuk menyusahkan diri mereka
melakukan demonstrasi jalanan dan seumpamanya kerana mereka terlalu
sibuk dengan tugas seharian untuk mencari nafkah kehidupan dan
seumpamanya.
Masyarakat yang dilatih dengan budaya lemah lembut dan sopan santun
kurang berminat untuk menyibukkan diri mereka mendengar fitnah dan
kutukan yang sering diucapkan oleh pemimpin parti politik kerana realiti
yang sering dipertontonkan kepada rakyat ialah apabila sesuatu parti
politik memegang teraju kerajaan sikap dan tingkah laku mereka adalah
sama dengan para pemimpin parti politik sebelumnya.
Jika ucapan dan kempen pilihan raya sering memperlekeh dan mendabik dada
menunjukkan kehebatan diri maka rakyat akan bertanya dan menilai apakah
kelebihannya dalam aspek kepimpinan dan pentadbiran.
Dalam hal ehwal kepimpinan dan pentadbiran muhasabah diri amat penting
untuk menilai kebolehan dan kepakaran diri dalam bidang tersebut supaya
tidak berlaku peristiwa apabila diberi mandat oleh rakyat corak
kepimpinan dan pentadbiran yang dipertontonkan kepada rakyat boleh
diibaratkan seperti ‘tikus memperbaiki labu’ lantaran terlalu gemar dan
rakus untuk memegang kuasa.
Umat Islam sepatutnya amat berhati-hati dalam hal ehwal kepimpinan dan
pentadbiran negara kerana kejahilan dan kurang kepakaran dalam aspek ini
boleh menyebabkan umat Islam hilang kuasa dan kewibawaan diri dan
agama. Apabila minda umat Islam disemat dengan jiwa ketakwaan dan
tanggungjawab berlandaskan amanah Allah mereka tidak akan menghabiskan
masa menyebarkan fitnah sewenang-wenangnya kerana perbuatan tersebut
lebih menjurus kepada kehancuran daripada kebaikan.
Kritikan yang bernas dan berdasarkan kepada fakta adalah senjata utama
yang boleh meyakinkan rakyat mengenai sesuatu isu yang diperdebatkan.
Corak pemikiran pemimpin parti politik begini amat diharapkan oleh
rakyat dalam negara membangun dan maju.
Oleh itu, fahamilah tuduhan atau cemuhan yang merendahkan maruah antara
satu sama lain bukan sahaja boleh menjatuhkan kewibawaan parti politik
malah ia juga boleh menjejaskan maruah agama dan umat Islam.
*PROFESOR MADYA DR. SAODAH ABD. RAHMAN dari Jabatan Usuludin dan
Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan