DETIK DAILY
Oleh Timmy Say
Pembangkang hari ini tidak sekuat pembangkang yang ada pada pilihan raya
umum ke-13 (PRU13). Semangat untuk berubah di kalangan rakyat hari ini
juga tidak sekuat semangat untuk berubah rakyat di PRU13. Kebencian
rakyat terhadap Barisan Nasional (BN) hari juga tidak setebal kebencian
rakyat terhadap BN di PRU13.
Jadi di manakah kekuatan pembangkang Malaysia?
Kekuatan pembangkang Malaysia asalnya adalah pada isu 1MDB yang meletup
di peringkat antarabangsa. Skandal yang tular di seluruh pelusuk dunia
itu menyebabkan rakyat terasa malu lalu menyebabkan kebencian terhadap
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bertambah. Isu 1MDB yang tular
tiba-tiba bertukar menjadi serangan personaliti terhadap Najib.
Bukan itu sahaja, isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor juga dijadikan
sumber kekuatan politik pembangkang untuk membenci kerajaan BN.
BN dan Najib menghadapi kedua-dua serangan ini dengan tenang dan tidak
gopah. Pukulan-pukulan terhadap isu 1MDB tidak dibalas dengan
pukulan-pukulan deras, sebaliknya kesunyian.
Dengan melewatkan PRU14, BN dan Najib memberi nafas dan ruang untuk
menyelesaikan 1MDB contohnya melalui rundingan di belakang takbir
bersama IPIC.
Isu ini sengaja dibiarkan cukup lama untuk pembangkang menghabiskan peluru mereka.
Segala apa yang boleh digunakan untuk menghentam Najib telahpun
digunakan, tapi Najib tidak jatuh. Maka, perkara itu diulang-ulang
sehingga rakyat terasa mual dengan isu ini.
Akhirnya isu 1MDB mati begitu sahaja di mana hampir semua kajian bebas
PRU14 hari ini menunjukkan bahawa isu 1MDB tidak akan mempengaruhi undi
di PRU14, terutamanya di kawasan pedalaman.
Untuk mengelakkan pembangkang mengeksploitasi isteri PM sebagai senjata
politik mereka, apakah anda dapat merasai bahawa Rosmah sudah tidak
sekerap muncul di media melainkan perlu?
Mengurangkan berita isteri PM adalah satu cara yang efektif agar rakyat
dapat mengurangkan perhatian mereka terhadap Rosmah; maka secara
automatiknya mengurangkan ruang untuk pembangkang mengambil kesempatan.
Pembangkang terkena umpan
Di sebalik 2 pertahanan ini, BN juga membuat serangan saraf provokasi
terhadap pembangkang terutamanya Pakatan Harapan agar di dalamnya terus
kucar-kacir.
Pertama, BN mengapi-apikan sentimen kononnya amat penting untuk
pembangkang untuk menamakan calon PM mereka. Umpan ini terkena ikannya
apabila Pakatan Harapan (PH) membuat keputusan mengumumkan Tun Dr
Mahathir Mohamad sebagai calon PM mereka yang menyebabkan PH bercakaran
sesama sendiri dan kelihatan sebagai opportunis dan tidak berprinsip.
Pemilihan Dr Mahathir juga menyebabkan kempen supaya rakyat Malaysia merosakkan undi bertambah besar.
Apabila wujudnya keadaan bercakaran sesama sendiri maka akan terlahirnya
golongan yang kecewa. Tiada senjata yang lebih mujarab terhadap
pembangkang daripada serangan dalaman daripada golongan kecewa.
Serangan golongan yang kecewa ini terhadap parti sendiri jauh lebih mujarab daripada serangan BN terhadap musuhnya.
Apa yang perlu dilakukan BN ialah memperbesarkan serangan-serangan
golongan kecewa terhadap parti dan PH lalu mengecapi hasilnya tanpa
sebarang titik peluh.
Lihatlah saja apa yang terjadi pada PPBM. Serangan-serangan bekas
pengasas parti terhadap PPBM ditularkan dan serangan-serangan golongan
kecewa terhadap pembahagian kerusi pula diberikan tempat di muka-muka
depan akhbar tempatan.
Selepas ini, akan timbul di dalam persoalan setiap ahli PPBM, yang
majoritinya bekas ahli Umno – apakah mereka boleh hidup secara
pembangkang sekiranya PH tewas? Apakah calon PPBM yang memenangi kerusi
akan melompat parti sebaik sahaja mengetahui BN akan terus berkuasa di
PRU14?
Dua strategi ini sudah cukup untuk merobohkan kesatuan di dalam
pembangkang. Ini juga bakal menyebabkan parti komponen PH tidak akan
mendapat undi yang sekata kerana akan berlakunya sabotaj dalaman di
antara parti-parti komponen di PRU14 nanti.
Pendek kata, BN telah berjaya meneutralkan kekuatan pembangkang
terutamanya PH menggunakan pendekatan-pendekatan saraf. Dengan
pertandingan tiga penjuru yang berleluasa, PRU14 dijangka menjadi perang
yang jauh lebih senang bagi Najib dan BN berbanding PRU13.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan