HULU SELANGOR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun
menasihatkan orang ramai agar berhenti membuat spekulasi berhubung kes
mualf, Muhammad Riduan Abdullah yang dilaporkan gagal menyerahkan anak
perempuan bongsunya kepada bekas isteri M. Indira Gandhi.
Mohamad Fuzi berkata semua elemen dalam pasukan polis telah dikerah untuk mengesan Muhammad Riduan.
"Perkara ini sensitif, andaian yang bukan-bukan boleh jejaskan
ketenteraman awam dan keselamatan negara," katanya pada sidang media
selepas melancarkan Op Selamat ke-12 bersempena Tahun Baharu Cina 2018
dan Unit Siasatan Lebuh raya (USLR) Zon Tengah di Kawasan Rehat dan
Rawat (R&R) Ulu Bernam, di sini hari ini.
Mohamad Fuzi sebelum ini dalam satu kenyataan berkata usaha mengesan
Muhammad Riduan yang sebelum ini dikenali sebagai K. Pathmanathan, masih
diteruskan sejak 2014 berdasarkan waran untuk pengkomitan yang
dikeluarkan Mahkamah Tinggi Ipoh pada 30 Mei 2014.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan kenyataan Indira Gandhi bahawa polis
tidak lagi mempunyai alasan untuk tidak mencari dan menahan bekas
suaminya yang didakwa gagal menyerahkan anak perempuan mereka kepadanya.
Pada 29 Jan lepas, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa pasangan yang
memeluk Islam dan pasangannya yang bukan Islam mesti memberi
persetujuan bagi penukaran agama anak bawah umur kepada Islam.
Ketiga-tiga anak mereka kini berusia 20, 19, dan sembilan tahun.
Muhammad Riduan, 47, telah menukar agama anak-anak mereka kepada Islam
pada April 2009 tanpa persetujuan Indira Gandhi selepas dirinya memeluk
Islam.
Pada 2016, Mahkamah Persekutuan mengarahkan Ketua Polis Negara
menangkap Muhammad Riduan kerana mengingkari perintah Mahkamah Tinggi
supaya menyerahkan anak perempuan bongsunya, Prasana Diksa kepada bekas
isterinya.
Pada 2010, Mahkamah Tinggi Ipoh memberi Indira Gandhi hak penjagaan
sepenuhnya terhadap ketiga-tiga anaknya dan memerintahkan Muhammad
Ridhuan menyerahkan Prasana Diksa kepada ibunya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan