HALAMAN SANTAI

Selasa, 20 Februari 2018

Video muzik ‘anjing’ hanya gurauan, kata keluarga Namewee



namewee-2


PETALING JAYA: Ahli keluarga Namewee yang sedang dicari polis kerana video muzik terbarunya bertajuk “Like a Dog”, menganggap projek itu sekadar gurauan penyanyi rap itu.

Berita Harian memetik seorang ahli keluarganya yang enggan dikenali sebagai berkata, video sempena Tahun Baru Cina itu bertujuan menghiburkan orang dan menyanyi bersama.

“Tak ada apa…dia (Namewee) selalu buat apa kita bersetuju dengan dia. It’s a joke…video itu untuk kasi (buat) orang ketawa, nyanyi,” kata lelaki berusia 40-an yang ditemui di rumahnya di Muar kepada akhbar itu semalam.

Beliau berkata, Namewee atau nama sebenarnya, Wee Meng Chee tidak pernah kacau pengkritik videonya.

Mengenai kedudukan pengarah dan pemuzik kontroversi itu, beliau mendakwa tidak pasti kerana Namewee mempunyai banyak program dan persembahan yang perlu disertainya.

“Saya ingat mungkin sekarang ada di Penang (Pulau Pinang)…dia selalu ada program, New Year (Tahun Baru Cina) banyak buat persembahan. Kita selalu cakap dengan dia pun menerusi WhatsApp sahaja.”

Katanya, Namewee jarang balik ke Muar dan kali terakhir beliau pulang ialah sebelum sambutan Tahun Baru Cina, Jumaat lalu.

Beliau berkata, Namewee meninggalkan Muar selepas makan bersama keluarga kerana sibuk dengan aktivitinya.

Minggu lalu, Namewee memuat naik klip video terbarunya yang memaparkan sekumpulan individu bertopeng anjing, didakwa mengandungi aksi tarian lucah berdekatan Bangunan Perdana Putra yang menempatkan Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.

Kelmarin, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dilaporkan berkata polis sudah membuka kertas siasatan terhadap Namewee berhubung klip video itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Katanya, polis bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk menyiasat klip video kontroversi itu.

Sabtu lalu, Namewee menerusi satu video penjelasan yang dimuat naik ke Youtube, mempertahankan video “Like a Dog” itu hanya hiburan dan tidak berniat menghina mana-mana agama atau bangsa.

Beliau berkata, penggambaran video itu dibuat di kawasan lapang yang terletak di tepi jalan utama Putrajaya, bukannya di depan masjid seperti dakwaan sesetengah pihak.


Tiada ulasan: