HALAMAN SANTAI

Khamis, 1 Februari 2018

Yakin sasaran 80,000 unit RUMAWIP tahun ini

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
PUTRAJAYA: Sasaran pembangunan 80,000 unit rumah di bawah program Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (RUMAWIP) dilihat boleh dicapai pada tahun ini berbanding sasaran awal pada 2020, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
 
Setakat ini, katanya, lebih 80 peratus daripada sasaran itu sudah dicapai membabitkan tiga wilayah - Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan - merangkumi kategori 'siap', 'dalam pembinaan' dan 'kelulusan perintah pembangunan atau development order'.
 
Katanya, tujuh buah projek di Kuala Lumpur dan tiga buah projek di Labuan setakat ini sudah siap sepenuhnya yang masing-masing berjumlah 3,662 unit dan 332 unit.
 
Tengku Adnan berkata, RUMAWIP menjadi pemangkin supaya memastikan pemaju perumahan tidak sewenang-wenangnya menjual rumah pada harga yang tidak berpatutan apabila RUMAWIP, yang dilengkapi kemudahan asas dan persekitaran kondusif, ditetapkan pada harga RM300,000 dan ke bawah.
 
"Terdapat 27 projek masih dibuka kepada warga Wilayah (Persekutuan) dan permohonan boleh dibuat di portal RUMAWIP dengan kemudahan pinjaman disediakan Yayasan Wilayah Persekutuan," katanya dalam pertemuan bersama media di kementeriannya baru-baru ini sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2018, hari ini.
 
Menyentuh mengenai Pelan Tindakan Pembangunan Labuan 2030, Tengku Adnan berkata, dasar berkenaan mampu melonjakkan wilayah berkenaan sebagai hab pelancongan, perniagaan, minyak dan gas yang mana manfaatnya akan dinikmati oleh penduduk di kawasan itu.
 
Pelan pembangunan yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 18 Januari lepas, direka khas untuk mentransformasikan landskap ekonomi Labuan secara menyeluruh dengan menggariskan kepada tiga fokus utama iaitu pembangunan ekonomi, sosial dan fizikal, katanya.
 
"Selain itu, kita mahu meningkatkan populasi penduduk Labuan yang mana pada hari ini penduduknya hanya berjumlah kurang 100,000 orang. Jumlah yang kecil ini tidak akan memberi impak ekonomi yang baik dan kita mahu menambah populasinya agar impak ekonomi akan berjalan dengan lebih baik," katanya.
 
Bagi wilayah Putrajaya, Tengku Adnan berkata, pihaknya sudah berbincang dengan Majlis Ekonomi Negara dan berharap projek perkhidmatan monorel dan trem di Putrajaya dapat dilaksana dengan secepat mungkin.
 
"Kita mengharapkan sistem pengangkutan alternatif ini dapat dimulakan segera bagi mengatasi kesesakan pada masa akan datang kerana populasi di Putrajaya pada hari ini adalah kira-kira 85,000 orang pada waktu malam dan pada siang hari sekitar 300,000 ke 400,000 orang," katanya.
 
Mengenai sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2018, Tengku Adnan berkata, sebanyak 35 program dirancang yang akan membabitkan pelbagai lapisan masyarakat membabitkan peruntukan sebanyak RM3.37 juta.
 
"Program-program ini secara tidak langsung akan mewujudkan rasa cinta warganya pada Wilayah Persekutuan terutamanya di Kuala Lumpur dan Putrajaya yang mana rata-ratanya berasal daripada negeri lain, dan kita mahu menerapkan konsep di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung," katanya.
 
 

Tiada ulasan: