KOTA KINABALU: Seorang lelaki mencetuskan kekecohan selepas memanjat
bumbung sebuah PERODUA Myvi di bulatan Jalan Pasir berhadapan Plaza
Likas.
Lelaki warga tempatan berusia 36 tahun itu dilaporkan berada dalam
keadaan khayal keluar dari kereta dipandu rakannya sebelum melakukan
kekacauan dengan menghalang lalu lintas di lokasi terbabit.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisiner M Chandra
mengesahkan ujian saringan awal air kencing lelaki terbabit mendapati
dia positif syabu.
"Suspek memanjat bumbung sebuah PERODUA Myvi warna putih yang berhenti
di bulatan Jalan Pasir sebelum ditangkap oleh orang awam di kawasan
terbabit," katanya menerusi kenyataan, di sini, hari ini.
Chandra berkata, pada hari kejadian, anggota Task Force Ibu Pejabat
Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu bersama bersama anggota Unit Ronda
Bermotosikal (URB) diarahkan ke lokasi kejadian selepas menerima
maklumat berkaitan tangkapan lelaki terbabit.
Katanya, siasatan lanjut mendapati suspek mengaku terbabit dalam kes
curi sebuah Toyota Hilux bersama seorang rakannya yang masih bebas di
tepi jalan sekitar Karamunsing, pada jam 10 pagi hari sama.
"Suspek yang bekerja sebagai pengawal keselamatan itu direman sejak
Isnin lalu hingga hari ini untuk siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun
Keseksaan kerana mencuri kenderaan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan