BAGAN DATUK: Malaysia meminta kerajaan Indonesia tidak menghentikan
penghantaran pembantu rumah ke negara ini hanya disebabkan oleh kes
terpencil yang berlaku membabitkan majikan di Pulau Pinang baru-baru
ini.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata,
untuk itu beliau akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Tenaga Kerja
Indonesia, Muhammad Hanif Dhakiri bagi berunding semula berhubung soal
keselamatan pekerja dan pembantu rumah warga Indonesia di negara ini.
"Saya agak terkilan dengan (laporan berita) jika benar pihak Indonesia
mengikut media Indonesia akan memberhentikan penghantaran pembantu rumah
ke negara kita disebabkan kes terpencil yang berlaku di atas penderaan
pembantu rumah.
"Kita mempunyai SOP (prosedur operasi standard) tertentu yang perlu dipatuhi majikan.
"Pihak Malaysia tidak akan melindungi mana-mana majikan yang melakukan
kezaliman dan kita mempunyai perjanjian antara majikan dan pekerja
berkenaan yang perlu ditandatangani supaya peraturan dan garis panduan
diikuti sepenuhnya," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan di Dataran Bagan Datuk di sini hari ini.
Yang hadir sama, Pegawai Daerah Bagan Datuk, Datuk Hamzah Hussin.
Ahmad Zahid mengulas laporan portal berita tempatan hari ini yang
memetik laporan portal berita Indonesia, Sindo News mengenai cadangan
Jakarta untuk membekukan penghantaran pembantu rumah ke Malaysia susulan
kematian Adelina Lisao, 26, yang didera di rumah majikannya.
Perkembangan ini dimaklumkan oleh Duta Besar Indonesia ke Malaysia Rusdi Kirana Khamis lalu.
Ahmad Zahid berkata, kerajaan Malaysia juga tidak akan melindungi atau
menyembunyikan fakta pendakwaan yang akan dibuat di mahkamah di negara
ini.
"Kita harap bakal pembantu rumah di Indonesia khususnya Kementerian
Tenaga Kerja Indonesia harus melihat Malaysia sebagai sebuah negara yang
berbeza dengan tindakan yang tidak pernah dilakukan.
"Secara relatifnya saya melihat beberapa data dari segi penderaan
pembantu rumah biar pun ada berlaku penderaan di Malaysia tetapi kadar
dan peratusannya terendah berbanding negara lain.
"Ini bermaksud kita mengambil kepedulian terhadap kebajikan pembantu rumah dari Indonesia," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan