HALAMAN SANTAI

Isnin, 2 April 2018

1MDB: CEREKARAMA YANG BELUM AKHIR




KISAH 1MDB nampaknya tiada penghujungnya.

Saban hari diputarkan kisah-kisah penangkapan, pendedahan dan pembongkaran yang dikatakan ada hubungkaitnya dengan 1MDB.

Cerita demi cerita dikitar dan disiarkan dan tidak hairan jika ia masih belum menuju ke pengakhirannya tatkala pilihanraya umum ke-14 datang menjelma.

Buka saja saluran WhatsApp atau Facebook, di celah-celah perkongsian  ayat-ayat Quran dan Hadith yang menyentuh perintah Allah dan akhlak mulia Nabi Muhammad s.a.w. terdapat adegan-adegan penghinaan, hasutan dan tohmahan yang berkaitan dengan 1MDB.

Biarpun berkongsi petua dan nasihat keluarga dan celoteh sahabat, di tengah-tengah ruang begini pun terdapat jenaka dan senda mengenai 1MDB.

Melihat dan meniliti khabar dan rentetan yang menular, masyarakat Malaysia seolah-olah tidak begitu minat mengikuti apa yang sedang berlaku di dunia dan sekeliling mereka selain episod-episod terbaru dalam saga 1MDB ini.

Kita renungkan sejenak suatu peristiwa penting di penghujung bulan Februari yang menjanjikan impak yang luarbiasa kepada negara menjelang tahun 2050.

Penyerahan Kanvas Belia TN50 oleh golongan muda-mudi kepada Perdana Menteri Mohd Najib Abdul Razak melakarkan corak Malaysia yang lebih progresif dan berdaya saing dalam masa 30 tahun selepas akhirnya musim Wawasan 2020.

Lebih signifikan, ia menggambarkan pendirian remaja masakini untuk mempertahankan kedaulatan dan kewibawaan negara demi kesejahteraan generasi yang bakal memimpin negara di masa depan.



Ada sesiapa kisah?

Sayangnya, detik bersejarah ini digelapkan oleh blog dan portal berita pro-pembangkang yang, sebaliknya, menumpukan siaran mereka kepada penahanan sebuah kapal mewah di Indonesia.

Kapal bernama Equanimity itu, yang dilaporkan milik jutawan muda  Jho Low, atau nama sebenarnya Low Taek Jho, dianggarkan bernilai lebih RM1bil dan didakwa dibina dan diselenggarakan dengan dana yang diselewengkan daripada 1MDB.

Ia dirampas ketika berlabuh di perairan Teluk Benoa, Bali, oleh Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat dengan bantuan pasukan polis dan maritim Indonesia.

Di antara banyak episod yang berlalu, penahanan kapal Equanimity ini mungkin yang paling mempersonakan bagi pengikut cerekarama 1MDB ini.

Pengkritik dan puak pembangkang membuat huraian mengenai 1MDB seoalah-olah ia merupakan ehwal semasa yang terpenting; melebihi kepentingan kemanusiaan dan bencana alam,
Buat apa risau pasal krisis air di Selangor?

Lupakan saja kesengsaraan masyarakat di Ghouta akibat perang bersaudara di Syria; tak usah merintih pasal melapetaka yang ditimpa masyarakat Rohingnya di Myanmar; biarkan saja Amerika Syarikat dengan ketaksubannya kepada regim Zionist.

Jangan ambil berat pasal isu penjualan tanah di Ijok dan kes pembinaan terowong bawah permukaan laut di Pulau Pinang.

Walaupun terdapat unsur-unsur penyelewengan dalam kedua-dua kes ini yang melibatkan jutaan wang rakyat, mereka licik dan bijak memperlihatkan kerajaan negeri masing-masing sebagai cekap, bersih dan amanah.

Begitulah kesan dan pengaruh keatas mereka yang tegar menjejaki cerekarama 1MDB.

Mereka tidak mau rakyat mengambil kisah tentang sebarang ancaman dan bencana lain yang sedang berlaku di merata pelusuk dunia.

Mereka hanya mau penumpuan umum kepada 1MDB.

Dan mereka tidak jemu melontarkan tuduhan dan tohmahan terhadap Perdana Menteri dan parti pimpinannya dengan menggunakan 1MDB sebagai alasan.



TIGA-PULUH TAHUN LAGI

Walaupun demikian, kalangan besar rakyat Malaysia tidak meremeh-temehkan masa depan negara selepas tamatnya tempoh Wawasan 2020.

Negara kita bakal ditadbir di masa itu oleh generasi yang kini baru mulai mesra dengan ilmu dan pendidikan di bangku sekolah rendah dan tadika.

Kanak-kanak kecil ini, bersama abang dan kakak mereka yang sekarang sedang menuntut di sekolah menengah dan institut pendidikan tinggi, tidak sepatutnya mewarisi negara yang berkacau bilau dan tidak menentu arahtujunya.

Ini jelas dibayangkan dalam bualbicara Najib dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin pada Feb 28 bersama beberapa tokoh muda yang mewakili pelbagai bidang, termasuk pendidikan, modal insan, kerjaya digital dan robotics, penjagaan orang kurang upaya dan warga emas, seni dan gayahidup sihat.

Suara belia lantang mempertengahkan apa yang mereka impikan pada tahun 2050 dan  selanjutnya.

Mereka tidak mahu hidup seharian mereka diganggu oleh ketidak ketentuan politik, perbezaan hidup bandar dan luarbandar, permusuhan di antara kaum dan perang cyber yang semakin hari bersandar kepada polemic kebencian.

Mereka juga bijak menilai bantuan kerajaan kepada rakyat kurang berada dan tidak menganggap, misalnya, BR1M itu  gula-gula politik atau dedak.

Momentum kebangkitan orang muda yang diiktiraf sebagai pewaris negara ini tidak boleh dipandang sepi dan Najib membayangkan ia akan menjadi elemen penting di dalam manifesto Barisan  yang akan dibentangkan tidak lama lagi

Image result for Transformasi Nasional 2050.

WARGA KELAS SATU

1MDB adalah sebuah badan strategic yang ditubuhkan oleh kerajaan Malaysia untuk menyokong dan menyelaraskan pelbagai program pembangunan negara dengan, diantaranya, pelaburan di dalam projek infrastruktur dan perbandaraan.

Ia diasaskan dengan tujuan memakmurkan rakyat Malaysia sebagai warga dunia kelas satu, seperti diilhamkan oleh mantan perdana menteri Dr Mahathir Mohamad menerusi  Wawasan 2020.

Kini, kesinambungan wawasan ini dipikul oleh Najib menerusi gagasan Transforemasi Nasional 2050.

Ekoran peristiwa penahanan bot Equanimity, beberapa berita muncul yang dihubungkaitkan dengan 1MDB semata-mata untuk beri “political points” kepada pihak pembangkang.

Dari Parlimen Malaysia ke Parlimen Switzerland dan Australia; dari sejauh-jauh benua hingga sedekat-dekat hujung jejari, pihak mesra pembangkang menjadikan 1MDB sebagai senjata utama untuk mengaibkan parti pemerintah.

Tujuan mereka satu saja; iaitu tumbangkan Najib dan Barisan di PRU14, yang diramalkan berlangsung selepas Hari Raya Aidil Fitri.

Modus operandi yang digunakan ialah: buat rakyat merasa keliru dan ragu-ragu tentang segala rancangan yang dilaksanakan kerajaan dan gagalkan program TN50 yang diilhamkan Perdana Menteri.

Walaupun siasatan jawatankuasa kira-kira wang negara (PAC), yang turut dianggotai Ahli Parlimen pembangkang, gagal mendapatkan bukti Najib terlibat dalam dakwaan penyelewengan 1MDB, pihak pembangkang tetap mengulang-tayang cerekarama mereka.

Sesungguhnya, pihak pemerintah tidak boleh membiarkan isu ini berpanjangan tanpa pengakhiran yang munasabah, berprinsip dan jujur.

Jika sememangnya ada unsur-unsur jenayah, pihak-pihak penguatkuasa perlu bertindak bijak untuk membawa mereka yang salah ke muka keadilan untuk hukuman yang setimpalnya.

Apa bukti dan informasi lagi yang diperlukan bagi melengkapkan penyiasatan harus dikumpul secara teliti dan pantas.

Ia amat memalukan bila pihak asing lebih ghairah membuat rampasan dan pendedahan mengenai masalah yang berpunca dari negara kita.

Jika penyelewengan telah berlaku kita harus berani dan tegas bertindak ke atas pihak pelaku, tidak kira siapa dia.

Intipati dari kaum remaja kini, mereka berharap anak muda di masa akan datang dapat tinggal di dalam sebuah negara yang “berjiwa murni” di mana Malaysia akan terkenal dengan rakyatnya yang berrbudi bahasa, bersikap tolong-menolong, sentiasa berperihatin kepada kesusahan orang lain dan rajin berusaha kearah menjadi warga dunia kelas satu.

Sememangnya, orang muda punyai banyak sebab untuk bersikap optimis dengan masa depan negara dan kerajaan yang bakal ditadbirkan oleh generasi yang menggantikan mereka 30 tahun dari sekarang.

Sesungguhnya, mereka tiada masa untuk pening kepala pasal 1MDB.

*Shah Adyll Dadameah- Penulis adalah bekas wartawan berpengalaman di akhbar The Star.

Tiada ulasan: