HALAMAN SANTAI

Khamis, 19 April 2018

BN sudah guna lambang 'dacing' 13 kali PRU - Bung

Oleh Ainor Rahim
Post Pic
 
SHAH ALAM: Lambang 'dacing' pada bendera Barisan Nasional (BN) sudah 13 kali digunakan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), justeru tidak timbul isu sama ada  ia sah atau tidak, tegas Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Bung Mokhtar Radin.
 
Bung berkata BN adalah parti yang sah berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (RoS) dan jika ada kesilapan, partinya sudah tentu akan dimaklumkan. 
 
"Lambang dacing ini dah berpuluh tahun digunakan. Saya tidak nampak ada isu. Gabungan ini telah kita daftar sejak sekian lama bukan baru. Dacing ini dah digunakan sebanyak 13 kali pilihan raya. 
 
"Jadi tidak timbul isu sebegini," katanya ketika dihubungi Antarapos hari ini.
 
Beliau berkata demikian mengulas dakwaan peguam PPBM, Haniff Khatri Abdulla bahawa penggunaan lambang 'dacing' pada bendera BN tidak termaktub dalam perlembagaan gabungan belasan parti itu.
 
Menurut Haniff BN beberapa kali meminda perlembagaan partinya, namun tidak pernah memasukkan lambang/logo yang kini bertukar daripada 'dacing' berwarna kuning emas kepada putih.
 
Sehubungan itu, beliau mendakwa BN juga melakukan kesalahn jenayah di bawah Seksyen 50 Akta 335, di atas ketiadaan lambang/logo yang diluluskan RoS selama ini.
 
Beliau kemudiannya menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (PSR) menolak borang pencalonan dari BN pada hari penamaan calon, 28 April nanti.
 
Mengulas lanjut, Bung berkata tuduhan Haniff ada kaitan dengan ketidakpuasan hati PPBM terhadap RoS apabila mengarahkan partinya dibubarkan.
 
"Itu dari segi persepsi dia sebagai seorang peguam. Apa (soal) lambang, logo, asal dia keahlian ada (sah) tidak ada masalah. 
 
"Yang masalahnya PPBM ini, iaitu aduan daripada ahli dia sendiri. Jadi saya tidak nampak ada masalah dalam soal logo dacing ini," ujar beliau. 
 
Terdahulu, RoS mengeluarkan perintah pembubaran sementara terhadap PPBM, dan diberi 30 hari untuk membuat rayuan terhadap keputusan itu namun perlu mengemukakan semua dokumen yang diminta RoS.
 
Jika gagal berbuat demikian, PPBM akan terbubar secara automatik.
 
Pakatan Harapan (PH) yang dianggotai PPBM, DAP, PKR dan Amanah sehingga kini gagal didaftarkan sebagai satu gabungan pembangkang. 
 
RoS turut memaklumkan pendaftaran PH gagal diproses ekoran berpunca daripada PPBM yang masih belum menjawab dan menyerahkan semua maklumat dan dokumen yang diminta mengikut Seksyen 14 (2) Akta Pertubuhan 1966.
 
RoS juga menjelaskan bahawa 428 aduan yang diterima RoS adalah berkaitan dengan sistem tadbir urus PPBM.
 
PH yang bakal bertanding menggunakan logo PKR pada PRU14 ini, sehingga kini tidak dibenarkan hak untuk menggunakan logo tunggal gabungan itu oleh RoS.
 
 
 

Tiada ulasan: