HALAMAN SANTAI

Rabu, 4 April 2018

BN Sungai Besar berjaya singkir ‘duri dalam daging’ sebelum PRU-14

Nizam Zain
Jamal Md Yunos


SEKINCHAN – Barisan Nasional (BN) Sungai Besar memberi jaminan isu sabotaj dalaman di peringkat Parlimen mahu pun Dewan Undangan Negeri (DUN) seperti pilihan raya lalu tidak akan berulang pada PRU-14.

Pengerusinya, Datuk Seri Jamal Md. Yunos berkata, sehingga kini pihaknya berjaya menyelesaikan ancaman ‘pengkhianat’ parti itu selepas melakukan ‘pembersihan’ dalaman dalam masa dua tahun selepas PRU-13.

“Solidariti berada di tahap paling tinggi di Parlimen Sungai Besar ini, masalah-masalah khianat di dalam parti ini berada di paras sifar dan kami pastikan apa yang berlaku ketika PRU-13 tidak berulang dalam PRU-14.

“Mereka yang sudah keluar (daripada BN) kami tiada masalah kerana mereka inilah yang menjadi pengkhianat kepada parti dan perjuangan kami selama ini,” katanya selepas Perasmian Pusat Arahan (Command Centre) BN Sungai Besar oleh Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Pasir Panjang, di sini baru-baru ini.

Dalam PRU-13, lebih 6,000 ahli UMNO Sungai Besar didakwa melakukan sabotaj kepada calon BN, Allahyarhamah Tan Sri Noraih Kasnon dengan tindakan tidak keluar mengundi menyebabkan kawasan itu hampir tewas di tangan calon Pas, Mohamed Salleh M Husin dengan majoriti tipis 399 undi.

Justeru, Jamal selaku Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar menggesa semua jentera di setiap peringkat khususnya di kawasan berkenaan agar tidak mementingkan agenda peribadi melebihi kemenangan parti pada PRU-14.- MalaysiaGazette


Tiada ulasan: