KEADILAN DAILY
Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menolak usul rang undang-undang Antiberita Tidak Benar 2018 yang dibentangkan di Dewan Rakyat.
Presiden Pakatan Harapan merangkap anggota Parlimen Permatang Pauh itu berkata tafsiran ‘berita palsu’ rang undang-undang itu berita itu terlalu luas dan tidak jelas.
“Ia akan menyebabkan pelbagai jenis berita mudah ditafsir oleh pihak berkuasa sebagai berita tidak benar dan akhirnya ia akan menyebabkan rakyat mudah dikenakan tindakan kerana terperangkap dengan tafsiran berita palsu yang tidak jelas,” katanya sewaktu membahaskan usul tersebut di Dewan Rakyat.
Katanya lagi, akta yang dibentangkan ini juga menyimpang daripada semangat undang-undang yang bersifat mendidik dan mencegah warganegara.
“Namun pada hari ini, akta yang dibentangkan ini secara jelas adalah sebuah rang undang-undang yang bersifat draconian malah terdedah kepada penyalahgunaan kuasa terutama daripada pihak pemerintah,” katanya lagi.
Menurutnya, Malaysia perlu belajar daripada sejarah pengenalan undang-undang Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 1960 oleh bekas perdana menteri Tunku Abdul Rahman Putra.
Pimpinan negara pada masa itu berjanji untuk menggunakan ISA bagi mengekang anasir subversif seperti komunis dan pengganas tetapi hakikatnya ia juga digunnakan untuk menindas pembangkang.
“ISA disalahgunakan untuk memenjarakan pengkritik dan seteru politik pemerintah yang berkuasa.
“Terlalu ramai di kalangan pemimpin politik pembangkang yang dipenjarakan akta yang “bertanggungjawab dan hanya terhadap komunis, pengganas dan anasir subversif”,” katanya.
Pada 30 Januari lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said mengumumkan kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas bagi mengkaji undang-undang baru untuk membendung berita palsu yang boleh mengancam kestabilan politik, menggugat ketenteraman awam dan keselamatan negara.
Namun, niat sebenar undang-undang itu diragui apabila Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari memberitahu Parlimen bahawa mana-mana maklumat berkaitan 1MDB yang tidak disahkan oleh pihak berkuasa Malaysia dianggap sebagai berita palsu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan