KEADILAN DAILY
Pakatan Harapan berjanji akan mengembalikan maruah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai sebuah badan yang benar-benar bebas apabila gabungan pembangkang itu mendapat mandat rakyat untuk mentadbir Putrajaya.
Iltizam itu dinyatakan Ketua Umum Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut berikrar akan memansuhkan undang-undang antiberita palsu yang dijangka akan diluluskan di Dewan Rakyat.
“Harapan akan menubuhkan suruhanjaya pilihan raya yang benar-benar bebas dan memansuhkan undang-undang antiberita palsu. Saya menggesa rakyat Malaysia untuk keluar beramai-ramai dan mengundi untuk menyingkirkan BN daripada kuasa,” kata Anwar dalam satu kenyataan.
Mengulas mengenai persempadanan pilihan raya yang baru dibentangkan di Dewan Rakyat, Anwar berkata ia adalah perkara penting yang perlu dibahaskan secara lebih mendalam.
Beliau kesal usul itu dibuat secara tergesa-gesa dan melalui proses yang hanya mengambil masa selama dua jam.
“Ini bukanlah amalan persempadanan semula yang sah dan mengikut undang-undang, tetapi perbuatan gerrymandering yang jelas tidak berperlembagaan.
“Ia juga merupakan pengakuan bahawa BN akan kalah dalam pilihan raya umum jika menggunakan persempadanan lama,” katanya.
Ikon Reformasni itu juga mengkritik rang undang-undang antiberita palsu yang tergesa-gesa dibentangkan di Dewan Rakyat dengan menyifatkannya sebagai ‘langkah terdesak’.
Beliau yakin BN berhasrat memanipulasi undang-undang baru itu untuk menghalang kritikan terhadap skandal 1MDB serta skandal rasuah lain yang dikaitkan dengan Putrajaya.
“Dalam menolak rang undang-undang antiberita palsu, BN jelas mensasarkan golongan muda, yang akan menjadi mangsa utama undang-undang ini. Berita palsu atau berita yang salah boleh ditangani dengan undang-undang fitnah.
“Bolehkah kita biarkan pencuri yang telah mencuri wang berbilion milik orang awam memutuskan apa yang palsu?” soalnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan