HALAMAN SANTAI

Ahad, 1 April 2018

Kajian terbaru sahkan Sutan Puasa pengasas Kuala Lumpur






KUALA LUMPUR: Betulkah Sutan Puasa, seorang saudagar Mandailing, pengasas sebenar Kuala Lumpur?

Kenyataan Prof Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim di beberapa wacana intelektual tahun lepas bahawa “pengasas Kuala Lumpur ialah Sutan Puasa, dari Mandailing”, menimbulkan persoalan dalam kalangan orang ramai kerana sejarah menyebut Yap Ah Loy, seorang kapitan Cina, pengasas bandar raya ini.

Bagaimanapun, buku yang diterbitkan baru-baru ini berjudul “Sutan Puasa Founder of Kuala Lumpur” karangan Abdur-Razzaq Lubis, mendedahkan maklumat baharu tentang sejarah Kuala Lumpur.

Terry McGee, Profesor Emeritus Penyelidikan dan Geografi Asia dari University of British Columbia, Vancouver, Kanada, dalam prakatanya menyebut buku itu “memberi interpretasi baharu tentang sejarah awal ibu negara Malaysia, Kuala Lumpur, dan daerah pedalamannya”.

McGee banyak membuat penyelidikan tentang proses perbandaran orang Melayu di Kuala Lumpur dan Tanah Melayu pada 1960-an untuk pengajian peringkat PhD.

Beliau berkata buku itu, yang memberi fokus terhadap peranan Sutan Puasa semasa era awal aktiviti melombong bijih timah di Kuala Lumpur pada pertengahan kurun ke-19, mencetuskan minatnya tentang perkara ini.

“(Abdur Razzaq) Lubis memberi jawapan meyakinkan terhadap 2 persoalan yang kelihatan mudah untuk diselesaikan itu.

“Pertama, siapakah sebenarnya yang mengasaskan Kuala Lumpur dan kedua, adakah catatan sejarah yang ada sekarang tentang pembukaan Kuala Lumpur, benar-benar tepat?” katanya.

McGee berkata, pengarang membuat kajian teliti untuk menyediakan maklumat yang boleh dijadikan asas bagi tafsiran semula sejarah Kuala Lumpur.

Tafsiran baru ini, katanya, mungkin berguna untuk banyak negara dalam perbahasan tentang tempoh peralihan yang berlaku dalam sejarah Asia Tenggara sebelum kedatangan penjajah yang mewujudkan sempadan tetap antara negara berkaitan.

Katanya, pengarang juga mengaku idea berhubung orang Melayu pada kurun ke-19 bukan sahaja meliputi kesultanan berasaskan kedudukan sungai di pantai timur, tetapi juga tentang masyarakat pendatang dari Indonesia yang berhijrah ke Tanah Melayu.

Tulisan Abdur Razzaq dalam buku setebal 615 muka surat itu turut memuatkan peta dan gambar lama Kuala Lumpur. Ia bermula dengan bab bertajuk “The Naming of Kuala Lumpur”, antara lain menyentuh tentang Sungai Lumpur dan Pangkalan Lumpur, 2 nama yang sering digunakan dalam dokumen lama.

Dalam bab 2, beliau menyentuh beberapa nama yang disebut sebagai pengasas Kuala Lumpur oleh pelbagai tokoh dan penulis, termasuk Yap Ah Loy, kapitan Cina pertama Hiu Siew dan Raja Abdullah, Orang Besar Jajahan Klang.

Mulai bab 3, beliau menyentuh tentang peranan Sutan Puasa dan orang Mandailing pada zaman awal kewujudan Kuala Lumpur.

Buku berkenaan, yang mencatat jualan terlaris di kedai buku Kinokuniya sejak 3 minggu lepas, akan dilancarkan penyanyi terkenal Datuk Sheila Majid, daripada keturunan Sutan Puasa, pada 7 April di Galeri Ilham.

Abdur Razzaq akan menyertai sesi perbincangan bersama Pengerusi Majlis Antarabangsa Tugu Peringatan dan Tapak Malaysia (Icomos) Datuk Hajeedar Abdul Majid tentang buku itu di Galeri Petronas pada 8 April bersempena Art for All – Art Fair 2018, sebelum menuju ke Kinokuniya untuk sesi bertemu pengarang dan menandatangani Buku.

Tiada ulasan: