HALAMAN SANTAI
Ahad, 1 April 2018
Najib tuntut guru-guru silat wala’ kepada PM
GOMBAK: Datuk Seri Najib Razak yakin taat setia atau wala’ seperti yang diamalkan dalam dunia seni bela diri harus diterap dalam politik, kerana jika diamalkan ia pasti membantu mencapai kejayaan dalam perjuangan dan pilihan raya.
Perdana menteri percaya prinsip wala’ akan melahirkan jentera politik yang bersatu padu, lancar dan berkesan.
“Kalau kita wala’, kita takkan bergaduh antara satu sama lain. Kalau kita wala’, arahan pasti kita penuhi.
“Kalau kita wala’, tak adalah sikap seperti boikot dan tembak kaki sendiri, sabotaj dan lain-lain lagi,” katanya ketika berucap di Himpunan Raksasa Guru-guru Silat Negara 2018 di Sungai Pusu hari ini.
Beliau bagaimanapun mengingatkan wala’ yang dituntutnya bukan untuk dirinya, tetapi jawatan perdana menteri yang disandang.
“Bila saya tuntut wala’ daripada anda semua ia bukan atas nama Najib Razak, tetapi atas jawatan sebagai pemimpin utama negara Malaysia yang tercinta,” katanya.
Najib juga menyeru penghayatan nilai-nilai dunia bela diri seperti ketinggian disiplin, berperibadian mulia, berani menghadapi dugaan dan bersemangat kental.
Beliau berkata semua nilai itu pasti mengukuhkan perpaduan dalam masyarakat dan menghindar permusuhan dan perpecahan, terutama dalam kalangan orang Melayu.
Sementara itu, Najib mengucapkan penghargaan kepada penganjur dan hadirin kerana mengundang “pendekar Bugis” untuk bersama memeriahkan acara hari ini.
“Jangan main-main dengan pendekar Bugis. Siapa nak mencarik-carik maruah orang Bugis tunggu balasannya nanti,” katanya.
Najib kemudiannya mengumumkan pihaknya sedang mempertimbangkan pembinaan kompleks silat negara sebagai mercu tanda negara.
Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan peruntukan dan garis masa projek itu.
“Saya bagi pihak kerajaan setuju untuk menyumbang kepada pembinaan kompleks ini di tempat yang kita akan runding,” katanya.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan