HALAMAN SANTAI

Khamis, 19 April 2018

Lampu padam: DAP syaki forumnya di Ayer Hitam disabotaj

Lu Wei Hoong

   
PRU14 | Walaupun sudah pun berdepan halangan untuk mengadakan satu programnya di sebuah kampung utama Melayu di Ayer Hitam, sebuah forum anjuran DAP yang dijadualkan malam tadi pula terpaksa dibatalkan selepas lampu jalan padam.

Forum bertajuk 'Umno kalah, Tergugatkah Melayu? itu dijadualkan mengetengahkan ahli panel terdiri daripada pengarah eksekutif Pusat Ilham Hisomuddin Bakar, peguam hak asasi manusia Syahredzan Johan dan calon DAP Paloh, Sheikh Omar Ali.

Forum itu itu dijadualkan diadakan di R&R Dato Sukiman di Parit Botak pada jam 9 malam.
Tetapi pencahayaan hanya datang dari pavilion, dengan semua lampu jalan dan kedai-kedai berhampiran padam.

Sekitar 30 penyokong Pakatan Harapan telah berkumpul dalam kegelapan menunggu forum itu bermula.

Ini membuat pengerusi DAP Johor dan calon Ayer Hitam Liew Chin Tong mengesyaki ia satu sabotaj.

Katanya tiba-tiba lampu padam dan mendakwa beliau dengar pemilik diarahkan tutup kedai.

"Saya percaya lawan kami cuba menghalang kami daripada mengadakan sebarang aktiviti," katanya sambil menambah beliau berharap pihak lawan mematuhi (prinsip) persaingan yang adil.

Katanya, mereka tidak perlu berbuat demikian untuk menghalang mereka bertemu pengundi.




Ketika ditemui pemberita, Liew mendakwa sebelum ini, (ADUN Semarang) Samsol Bari Jamali meminta penduduk kampung supaya jangan membenarkan beliau masuk ke sebuah kawasan Melayu.

Beliau berharap Samsol dan (penyandang Ahli Parlimen Ayer Hitam) (Datuk Seri) Wee Ka Siong boleh menjanjikan satu persaingan yang adil.

Liew berkata sekiranya program itu memang disabotaj, ia memberi kesan yang kecil kerana HARAPAN masih boleh menyebarkan apa yang dijadual dibincangkan di forum itu, melalui media sosial.

Jelasnya, tidak ada manfaat untuk menutup tempat itu, kerana menurutnya, semua orang masih boleh mengakses internet untuk memahami situasi itu.

R&R Dato Sukiman Sahlan diuruskan oleh Majlis Perbandaran Batu Pahat. Difahamkan bahawa DAP tidak mengemukakan permohonan rasmi kepada pihak majlis itu untuk mengadakan program tersebut.

Bagaimanapun, Samsol menafikan dakwaan sabotaj tersebut.

"RNR dikendalikan oleh peniaga-peniaga yg terlibat. Umno tidak ada hak memaksa mereka berniaga atau tidak," katanya kepada Malaysiakini menerusi WhatsApp

'Satu kebetulan'

Sementara itu, ketua MCA Ayer Hitam Ling Tian Soon berkata beliau tidak tahu DAP mengadakan program di situ.

Mengenai lampu padam, itu, katanya, ia sama seperti yang dialaminya semasa mesyuaratnya.
"Ia mungkin secara kebetulan," katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi.

Di satu perhimpunan BN yang diadakan di Parit Londang Darat awal bulan ini, Samsol meminta pengundi Melayu menolak Liew dan DAP pada pilihan raya umum ke-14.

Liew dijangka berdepan dengan Wee, timbalan presiden MCA, dalam pertembungan di kerusi Parlimen Ayer Hitam.

Parlimen Ayer Hitam mempunyai 46,249 pengundi dengan 57.9 peratus Melayu, 38.1 peratus Cina dan 3.9 peratus India.

Dalam pilihan raya lepas, Wee menang dengan majoriti 7,310 undi, dengan sokongan kuat dari Kampung Parit, yang terletak di kerusi DUN Semarang.

Ini walaupun MCA kalah kerusi DUN majoriti Cina, Yong Peng, yang juga terletak di kawasan parlimen yang sama.

Penduduk Kampung Parit merupakan 40 peratus daripada jumlah pengundi Ayer Hitam, di mana HARAPAN perlu menarik sokongan mereka jika mahu tsunami Melayu menjadi kenyataan

Tiada ulasan: