PRU14 | PKR mempertimbangkan untuk meletakkan pemimpin berpengaruh mengetuai misi menawan Johor pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 namun sehingga kini dilihat masih belum ada calon yang diumumkan dan sanggup berbuat demikian.
Beberapa nama dicadangkan termasuk Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar, Tian Chua dan Shamsul Iskandar Md Akin. Namun belum ada calon yang jelas dinamakan yang menyebabkan kepada spekulasi dan kenyataan bercanggah di akhbar.
Nurul Izzah ketika ditemui di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam menyangkal laporan yang memetik Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail sebagai berkata beliau akan bertanding di Permatang Pauh.
Nurul Izzah menafikan berita itu dan menyifatkannya sebagai khabar angin.
"Saya akan pergi ke Johor esok (hari ini) dan saya harap tidak ada khabar angin bahawa saya akan bertanding di sana juga," katanya berseloroh.

Sumber kepimpinan PKR pusat berkata sama ada Nurul Izzah akan bertanding di Johor atau tidak bergantung kepada Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.
"Jika Wan Azizah pergi ke tempat lain seperti Lembah Klang, maka adalah logik jika Nurul Izzah mempertahankan Permatang Pauh bagi PKR," kata satu sumber.
Sebelum ini timbul spekulasi mengatakan kedua anak-beranak itu masing-masing akan bertanding di Permatang Pauh dan Pandan.
Majoriti pengundi di Permatang Pauh sejak PRU 1982 memilih Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai wakil mereka, sehingga tempatnya diambil alih Wan Azizah.
Jika Wan Azizah berpindah kerusi, Nurul Izzah adalah satu-satunya pilihan yang ada bagi mempertahankan Permatang Pauh, sekali gus melenyapkan kemungkinan beliau akan bertanding di Johor.
5 kerusi marginal HARAPAN
Sementara Tian Chua ketika dihubungi juga menafikan kemungkinan beliau akan bertanding di Johor.
"Semua ini hanya spekulasi yang tidak benar kecuali datang dari saya sendiri. Ini berita palsu," katanya.
Shamsul pula mengakui bahawa terdapat permintaan dari akar umbi agar pemimpin berpengaruh diletakkan di Johor dan dia bersedia mempertimbangkan tugas itu.
Bagaimanapun, Shamsul berkata keutamaannya adalah di parlimen yang disandangnya sebelum ini iaitu Hang Tuah Jaya (sebelum ini Bukit Katil) sekiranya bekas ketua menteri Melaka Datuk Seri Ali Rustam bertanding sekali lagi di sana.
"Jika dia (Ali Rustam) kembali, saya perlu pertahan kerusi saya atau akan ada persepsi yang saya lari," katanya kepada Malaysiakini.

Dalam PRU lalu, DAP membuat kejutan di Johor apabila memenangi empat daripada enam kerusi yang ditandingi di negeri itu.
PKR bagaimanapun hanya berjaya memenangi satu daripada 12 kerusi yang ditandinginya ketika itu.
Pemerhatian yang lebih terperinci menunjukkan parti itu hampir menang di sekurang-kurangnya lima kerusi parlimen yang dimenangi pihak lawan dengan kurang daripada 2,000 majoriti undi.
Kerusi itu adalah Pasir Gudang (935), Segamat (1,217), Muar (1,646), Tebrau (1,767) dan Ledang (1,967). PKR menyerahkan Muar kepada BERSATU bagi PRU akan datang namun akan kekal bertanding di lima kerusi lain itu.
Permintaan untuk meletakkan pemimpin berpengaruh di Johor adalah kerana kepercayaan ia akan memberikan kesan yang diperlukan untuk PKR memenangi kerusi yang ditandingi.
Kebanyakan pihak masih terus tertanya-tanya sama ada kepimpinan PKR akan menurut rancangan yang dicadangkan itu sementara calon yang dilihat berpotensi tidak begitu bersemangat untuk bertanding di negeri itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan