SHAH ALAM: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam
Selangor (JAIS) mengeluarkan pekeliling rasmi berhubung larangan
menggunakan masjid dan surau untuk kempen Pilihan Raya Umum ke-14
(PRU14).
Setiausaha MAIS, Datuk Bakhtiar Hussin, berkata pekeliling itu
dikeluarkan selaras titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris
Shah, selaku ketua agama Islam negeri berkenaan.
"Justeru, semua Jawatankuasa Kariah Masjid dan Jawatankuasa Surau perlu
mengambil perhatian dalam memastikan masjid dan surau sebagai pusat
ibadat, pusat ilmu, pusat penyatuan ummah zon aman dan bebas politik
kepartian seperti dinyatakan dalam Peraturan 18 (1) dan Peraturan 30 (1)
Peraturan-Peraturan Masjid dan Surau Negeri Selangor 2017.
"Mereka perlu melarang sebarang bentuk ceramah, tazkirah dan penerangan
mengandungi elemen kempen bagi parti politik tertentu dalam dewan solat
utama atau dalam kawasan masjid atau surau," katanya dalam satu
kenyataan, hari ini.
Beliau juga meminta jawatankuasa masjid memastikan dewan solat dan
kawasan masjid serta surau tidak dijadikan medan mengedar atau menjual
penerbitan mengandungi fahaman, ideologi atau doktrin yang boleh
mendatangkan kebencian atau penghinaan kepada Sultan Selangor, kerajaan
Persekutuan atau kerajaan negeri serta permusuhan antara kaum seperti
larangan Peraturan 70 (2) (d).
Katanya, masjid dan surau tidak boleh dijadikan tempat kegiatan politik
dan yang boleh memecah-belahkan perpaduan ahli kariah, selain larangan
menggantung atau memacak bendera politik di bangunan utama, kawasan
masjid termasuk pagar masjid.
"Jawatankuasa masjid dan surau perlu memastikan khatib solat Jumaat
adalah imam lantikan masjid yang menerima tauliah Sultan Selangor atau
imam rawatib yang dilantik pihak masjid atau surau solat Jumaat.
"Khatib jemputan tidak dibenarkan kecuali selepas mendapat kebenaran pihak JAIS," katanya.
Sementara itu, Pengarah JAIS, Datuk Haris Kasim, berkata semua sekolah
agama kelolaan jabatan berkenaan diberi cuti peristiwa khas sempena
PRU14 berikutan kebanyakan institusi itu digunakan sebagai pusat
mengundi.
"Sekolah berkenaan termasuk prasekolah JAIS, Sekolah Rendah Agama
(SRA), Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI), Kelas al-Quran, Fardhu Ain
(KAFA) Integrasi dan Maahad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS).
"Cuti khas ini tidak membabitkan penutupan asrama bagi sekolah
berasrama manakala bagi sekolah yang menjalankan dua sesi, sesi petang
pada 8 Mei perlu ditangguhkan bagi memberi laluan kepada persiapan
PRU14," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan