SHAH ALAM: Gabungan empat parti dalam Pakatan Harapan (PH) lebih kuat
berbanding Gagasan Sejahtera (GAGASAN) yang diketuai PAS, kata Nik Omar
Nik Abdul Aziz.
Anak kedua kepada bekas Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat
itu berkata PAS perlu bergabung dengan PH jika mahu membentuk kerajaan
yang kuat berikutan parti itu mempunyai pemimpin yang besar dan hebat.
"Dari sudut politik, berdasarkan kepada kefahaman saya, apa yang Tok
Guru bawa, di sudut politik untuk kita menang PRU, kita perlu bergabung.
"Sekarang PAS sendiri walaupun ada gabungan, Pakatan (GAGASAN) Sejahtera, sekarang untuk membentuk kerajaan kena bergabung.
"Saya melihat PH lebih kuat kerana mempunyai empat parti yang mempunyai kekuatan masing-masing.
"Bersatu (PPBM) walaupun baru tetapi mempunyai pemimpin besar seperti
Tun Dr Mahathir Mohamad, PKR dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, DAP pula
menguasai pengundi bukan Islam dan Amanah walaupun baru tetapi diwarisi
dengan kepimpinan dari aktvis, jadi mereka mempunyai gabungan yang
kuat," katanya dipetik wawancara khas bersama akhbar Sinar Harian.
Untuk rekod, PAS kini bersama GAGASAN selepas parti itu memutuskan
tahaluf siyasi dengan DAP dan PKR - akibat perbalahan dalaman terutama
penentangan untuk PAS melaksanakan hukuman hudud di Kelantan.
GAGASAN dianggotai PAS, Ikatan, BERJASA, serta lebih 200 Badan Bukan
Kerajaan (NGO) dan NGI, dan akan bertanding menggunakan logo PAS pada
pilihan raya kali ini.
Manakala, PH pula ditubuhkan selepas terkuburnya Pakatan Rakyat (PR) dengan dianggotai PKR, DAP, Amanah dan PPBM.
Justeru, PRU kali ini bakal memperlihatkan pertembungan sekurangnya tiga penjuru di antara Barisan Nasional (BN), PAS dan PH.
Sementara itu, Nik Omar yang sebelum ini dikhabarkan bakal bertanding
atas tiket Amanah berkata, perkara tersebut 'mustahil' berlaku selagi
beliau tidak mendapatkan persetujuan daripada bondanya.
"Kepada orang yang tanya, saya hanya jawab semua bergantung kepada bonda.
"Selagi bonda tidak izin saya tidak terlibat, bonda minta tidak
terlibat mungkin tidak mahu lihat pertembungan (bersama adiknya, Nik
Abduh)," ujarnya lagi.
Khabar angin bertiup kencang sejak kebelakangan ini bahawa kemungkinan
ada persaingan politik di antara Nik Omar dan abangnya, Nik Abduh,
selepas pengerusi Amanah negeri, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah,
mengatakan Nik Omar berkemungkinan bertanding di bawah tiket Amanah.
Difahamkan Tuan Sabariah enggan memberi restu kepada Nik Omar untuk
menyertai Amanah dan menjadi calon pakatan pembangkang untuk menentang
PAS, kerana Nik Abduh yang juga anak keempatnya adalah Ahli Parlimen
Pasir Mas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan